Tuesday, 24 December 2024

Masalah utama orang awam berkaitan tuntutan Nafkah Anak


Masalah utama orang awam berkait dengan tuntutan Nafkah Anak dan tuntutan di Mahkamah Syariah.



Tidak tahu nak buat apa


Tidak tahu macamana nak mulakan


Tidak tahu macamana nak buat pengiraan.


Tidak tahu keperluan apa yang boleh dituntut


Tidak tahu prosedur


Tidak tahu nak mengisi borang 





Saya nak bantu orang awam yang ada masalah ni dengan panduan Khas Nafkah Anak.

KLIK LINK di bawah untuk info.




#tuanmohamadazlin #kongsiilmuguamansyarie

Tuesday, 1 October 2024

ISU UTAMA NAFKAH ANAK BAGI PASANGAN BERCERAI

 



Nafkah anak merujuk kepada saraan diri anak-anak atau keperluan yang wajib disediakan oleh bapa kepada anak-anaknya. Keperluan Nafkah anak-anak merujuk kepada makan minum, pakaian, tempat tinggal, pendidikan, kesihatan, susu, pampers serta beberapa keperluan yang lain. 

Kebanyakan isu nafkah anak ini timbul selepas perceraian berlaku. Tangggungan nafkah anak ada yang terhenti selepas bercerai. Sedangkan walaupun perceraian memisahkan suami dan isteri, tanggungjawab bapa untuk menyara anak-anak kekal, seperti yang ditetapkan oleh hukum syarak dan undang-undang negara. 

Menurut Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), sekitar 60% kes nafkah yang difailkan di mahkamah melibatkan tuntutan yang berkaitan dengan kegagalan atau keengganan bapa memberi nafkah kepada anak-anak mereka. Ini menggambarkan betapa seriusnya masalah ini dalam kalangan masyarakat.

Kewajipan memberi nafkah kepada anak adalah jelas. Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Baqarah ayat 233:

"Dan kewajipan bapa ialah memberi makan dan pakaian kepada para ibu dengan cara yang baik."_

Ayat ini menekankan tanggungjawab seorang bapa untuk memberi nafkah bukan hanya kepada anak-anak, tetapi juga kepada ibu yang menjaga anak-anak selepas perceraian, khususnya sepanjang tempoh penyusuan.

Sebagai pengamal undang-undang, penulis menggariskan 3 isu utama yang sering berlaku berkaitan Nafkah Anak selepas bercerai



1. Nafkah Anak tidak dibayar langsung atau terhenti selepas perceraian. 

Masalah ini banyak berlaku terutamanya pada para ibu yang menjaga anak selepas perceraian.

Nafkah anak-anak ini berbeza dengan nafkah isteri. Nafkah isteri terhenti selepas perceraian tetapi nafkah anak tidak. nafkah anak masih perlu ditangggungg oleh bapa walaupun selepas perceraian. Hubungan bapa dan anak-anak tidak terputus dengan sebab perceraian.

Bila nafah tidak dibayar, ibu perlu mendapatkan perintah pembayaran nafkah anak di Mahkamah Syariah untuk menentukan jumlah nafkah dan cara pembayaran.




2. Nafkah yang Tidak Mencukupi, terlalu sedikit dan jumlah tidak konsisten.
  
Antara isu yang sering berlaku ialah nafkah yang diberikan tidak mencukupi untuk menampung keperluan anak. Adakalanya terlalu sedikit dan tidak sepadan dengan keperluan anak-anak menyebabkan ibu terpaksa menampung keperluan tersebut. 

Anak semakin meningkat dewasa tetapi pembayaran nafkah masih mengikut umur anak semasa kanak-kanak. Tiada inisatif untuk menambah nafkah tersebut hingga para ibu sendiri terpaksa ke mahkamah untuk memohon tambahan nafkah anak-anak.

Terdapat juga pembayaran nafkah mengikut suka hati. Kadang ada kadang tiada, kadang sikit kadang banyak. Ini membuatkan orang yang memerlukan nafkah tertunggu-tunggu pembayaran nafkah.

Bagi ibu yang bekerja ia mungkin tidak menjadi masalah berat tetapi bagi ibu yang berstatus surirumah sepanjang tempoh perkahwinan, ia menjadi cabaran yang berat untuk bekerja selepas perceraian demi untuk anak-anak.

Namun begitu, nafkah anak tidak boleh dilihat pada satu aspek anak sahaja, ia juga perlu dilihat dari sudut kemampuan orang yang membayarnya iaitu "bapa". Dalam tempoh perkahwinan kebanyakan perbelanjaan dikongsi berbeza dengan selepas perceraian.

Namun ada juga yang mempunyai kemampuan kewangan yang baik tetapi terlalu berkira dalam menentukan keperluan nafkah anak selepas perceraian. Dalam hal keadaan begini, para ibu perlu merujuk kepada mahkamah syariah untuk menentukan kadar nafkah yang wajar untuk anak-anak.




3. Kelewatan dan kegagalan membayar nafkah mengikut perintah.
  
Walaupun mahkamah telah menetapkan nafkah, terdapat banyak kes di mana bapa gagal atau lewat dalam pembayaran nafkah. Kegagalan ini menambah beban kepada ibu yang menjaga anak, yang terpaksa menanggung segala kos harian tanpa bantuan. 

Perintah jelas menyebut membayar pada tempohnya tetapi masih ada yang gagal. Nafkah dibayar ikut suka bila nak bayar dan kebanyakkannya lewat. 

Kelewatan membayar ini selalunya menyukarkan ibu yang menjaga anak untuk menguruskan pembayaran-pembayaran yang perlu dibayar pada masanya.

Masalah ini juga membawa kepada kes-kes di mana ibu terpaksa memfailkan ubah perintah atau tuntutan nafkah tertunggak di mahkamah bila perintah tidak dipatuhi. Hal ini menuntut kepada pengorbanan masa, wang dan tenaga sedangkan jika patuh pada perintah, Insyallah selesai.

Ramai ibu tidak tahu bahawa mereka boleh memohon di Mahkamah Syariah jika bapa tidak menunaikan tanggungjawab nafkah. Samada kegagalan membayar nafkah, keenggganan mematuhi perintah atau nak memohon penentua kadar nafkah yang wajar. Semua isu ini boleh dipohon di mahkamah syariah. 

Seksyen 73 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 menjelaskan bahawa bapa diwajibkan memberi nafkah kepada anak-anaknya sehingga mereka dewasa atau sehingga anak itu boleh berdikari.

Isu tuntutan nafkah anak adalah satu cabaran besar dalam sistem kehakiman Syariah di Malaysia. Kegagalan bapa melaksanakan tanggungjawab nafkah ini bukan sahaja memberi kesan kepada kesejahteraan anak-anak, tetapi juga meletakkan beban yang berat kepada ibu. 

Para ibu sendiri perlu tahu hak supaya bersedia menuntut dan mempertahankan hak anak-anak.

Tuan Mohamad Azlin 
Peguam Syarie
Mohamad Azlin & Suriati Associates 
www.azlinsuriati.com