Tuesday 20 May 2014

APA PERLU DIBUAT JIKA TERJEBAK DENGAN NIKAH SINDIKET?



APA PERLU DIBUAT JIKA TErjebak dengan NIKAH SINDIKET?



Pernikahan sindiket merupakan sesuatu yang sering berlaku dalam negara kita. Pernikahan sindiket ini bukan sahaja di luar Negara malah dalam Negara pun berlaku juga. Secara ringkas nikah sindiket ini bermaksud pernikahan yang diuruskan oleh sindiket.

Sebagai peguam saya selalu berjumpa dengan pasangan yang telah bernikah secara sindiket. Banyak antara mereka yang buntu dan keliru apa perlu dibuat bila tahu yang mereka bernikah secara sindiket.

Oleh itu, artikel ini ditulis untuk berkongsi dengan pembaca tentang apa langkah yang perlu dibuat kalau benar anda bernikah secara sindiket.

Pertama sekali pembaca perlu tahu bahawa tidak semua nikah sindiket itu menyebabkan nikah tidak sah. Ada juga yang sah. Ada pernikahan secara sindiket yang menepati rukun syarak dari segi proses pernikahan, oleh itu selagi ianya menepati hukum syarak maka ia adalah sah.

(1)      Pastikan dulu samada nikah anda sindiket atau tidak. Cara untuk pastikan adalah anda kena check di Pejabat Agama Islam. Kalau surat nikah negeri Selangor, pergilah ke Jabatan Agama Islam Selangor.
          Setiap perkahwinan di Malaysia adalah didaftarkan secara lengkap. Semua maklumat perkahwinan ada dalam data pejabat agama. Check dengan pejabat agama, ada atau tidak pernikahan anda berdaftar di Pejabat Agama.  Jika tidak berdaftar, maka kemungkinan besar ianya sindiket. Ada juga no siri pada surat nikahnya ada tetapi milik orang/ pasangan lain. maka itu juga kemungkinan nikah sindiket.

(2)      Failkan permohonan pengesahan nikah di mahkamah syariah di daerah anda tinggal.
          Bila telah pasti nikah anda tidak berdaftar, buat pengesahan nikah di mahkamah syariah. Tujuannya untuk pastikan samada nikah anda sah atau tidak. 
Mahkamah akan menyiasat seluruh proses pernikahan anda baik dari segi akad nikahnya, walinya, jurunikahnya, serta pengantin lelaki dan perempuan. Jika sah, maka nikah anda boleh didaftarkan dan surat nikah yang baru dan berdaftar akan diberikan kepada anda.

Jika tidak sah, maka pernikahan anda akan difarakkan dan anda akan dinasihatkan untuk bernikah semula dengan cara yang betul.

(3)      Jika pernikahan anda ada dikurniakan cahaya mata dan nikah anda diputuskan tidak sah.
          Sekiranya mahkamah telah memutuskan bahawa pernikahan anda tidak sah dan anda telahpun ada zuriat, anda perlu memfailkan permohonan nasab anak di mahkamah syariah juga. Tujuannya untuk mendapat kepastian tentang status nasab anak tersebut samada boleh dinasabkan kepada bapa atau tidak.
         
Sekiranya mahkamah memutuskan boleh dinasabkan maka anak tersebut boleh di”bin”kan kepada bapa. Jika tidak maka tidak boleh di”bin”kan kepada bapa dan kebiasaannya dibinkan dengan Abdullah.

Moga dengan info ringkas ini dapatlah memberi manfaat kepada pembaca.

Peguam Syarie Mohamad
20hb Mei 2014