Thursday 18 February 2016

PROGRAM PENCERAHAN HADHANAH






ADAKAH ANDA?

»        Adakah anda ada kemushkilan dan kekeliruan tentang proses hak jagaan anak?

»        Anda ada banyak soalan yang nak ditanya tetapi tak tahu di mana nak pergi?

»        Anda telah berpisah tetapi penentuan hak jagaan anak belum dibuat.

»        Atau anda terlibat dengan perebutan hak jagaan anak?

»        Atau anda dihalang dari melawat/ bersama atau bemalam dengan anak?

»        Adakah anda hendak memohon hak jagaan anak di mahkamah syariah atau anda telahpun terlibat dengan kes tuntutan hak jagaan anak tetapi tidak tahu caranya?

»  Atau anda mengalami kerumitan akibat akses lawatan/bermalam yang tidak konsisten/bertarabur.

»        Atau anda nak tahu, nak info, nak pencerahan tentang hak jagaan anak.


Mari saya kongsikan satu program terbaru PROGRAM PENCERAHAN HAK JAGAAN ANAK, ISU DAN PROSEDUR yang membincangkan dan memberi pencerahan tentang hak jagaan anak dari A to Z.


PROGRAM INI AKAN MEMBANTU MENYELESAIKAN MASALAH RAMAI ORANG:


Yang TIDAK TAHU tentang dan TIDAK FAHAM tentang hak jagaan anak. 

Yang menyangka mereka TIADA HAK untuk menjaga anak tetapi ada sebenarnya ada.

Yang TAKUT nak menuntut hak jagaan anak kerana BIMBANG dengan kerumitan prosedur.

Ramai orang yang KELIRU dan TERTIPU hingga percaya kepada cakap orang luar hingga ada yang hilang kelayakan menjaga anak.




APA YANG SAYA AKAN KONGSIKAN PADA PROGRAM INI:


1.           Saya akan kongsikan  tentang proses tuntutan hak jagaan anak dari A to Z.

2.           Mendedahkan anda dengan prosedur di mahkamah syariah dari awal hingga akhir.

3.           Anda akan didedahkan dengan kes-kes sebenar, dokumen sebenar seperti perintah jagaan, perintah lawatan dan perintah Injunksi.

4.           Berkongsi dengan anda salah faham orang awam terhadap hak jagaan anak hingga hilang hak kelayakan.

5.           Bagaimana menyelesaikan kes hak jagaan anak hanya dengan 1 kali kehadiran di mahkamah.

6.           Bagaimana Ibu mendapat hak jagaan anak. Apa kelebihan pada ibu.

7.           Apa perkara penting yang mahkamah pertimbangkan dalam tuntutan hak jagaan anak hingga anda berjaya mendapat hak jagaan anak.

8.           Apa perkara yang menyebabkan kelayakan hak menjaga anak hilang.

9.           Bagaimana menetapkan hak lawatan supaya ianya mudah untuk diikuti dan anda juga tidak pening memikirkannya.

10.       Bagaimana bentuk lawatan pada cuti sekolah dan perayaan.

11.       Bagaimana nak buat jika perintah hak jagaan anak tidak dipatuhui.

12.       Bagaimana anak-anak membuat pilihan di mahkamah syariah.

13.       Bagaimana nak ubah jagaan anak yang sedia ada.



MENGAPA KENA HADIR PROGRAM INI?

v       Disampaikan terus oleh PEGUAM SYARIE yang telah 10 tahun beramal di Mahkamah Syariah serta faham tentang selok belok tuntutan kes di mahkamah syariah.

v         Satu-satunya program yang mendedahkan anda terus kepada prosedur mahkamah secara santai.

v       Anda berpeluang untuk bertanya soalan secara terus dengan Peguam Syarie.

v      Tidak ada program sebegini dan belum ada buku yang bercetak yang menceritakan tentang prosedur SECARA SANTAI dan MUDAH DIFAHAMI.


Bila program dijalankan?

Tarikh:           5hb Mac 2016 (Sabtu)
Masa:             9-12 Pagi
Tempat:         Bilik Kuliah, Masjid Al Azim, Pandan Indah.
Yuran:            RM 30.00 (Nota & Minuman disediakan)

Daftar segera kerana tempat hanya terhad untuk 50 orang sahaja. 


CARA DAFTAR:

1.    SMS@ WASAP: DAFTAR PROGRAM <jarak> NAMA ke 012-2773829.
    SMS@ WASAP :DAFTAR PROGRAM <jarak> NAMA ke 012-2773829.

2.     CARA PEMBAYARAN:

BANK IN

 CIMB- 8600902342 atas nama Mohamad Azlin & Suriati Associates

MAYBANK-  562674204312 atas nama Mohamad Azlin & Suriati Associates

3.     WASAP BUKTI PEMBAYARAN


PEMBAYARAN BOLEH JUGA DIBUAT PADA HARI PROGRAM

DAFTAR SEGERA!! TEMPAT TERHAD

Jumpa anda di sana!!!


Monday 25 January 2016

TUNTUTAN NAFKAH DI MAHKAMAH SYARIAH. TATACARA TUNTUTAN & CARA PENGIRAAN



TUNTUTAN NAFKAH DI MAHKAMAH SYARIAH, TATACARA TUNTUTAN DAN KADAR PENGIRAANNYA?


Muqadimah
Artikel ini untuk bacaan umum yang mana ianya memfokuskan kepada proses dan prosedur tuntutan nafkah di mahkamah syariah. Ianya juga akan menyatakan secara ringkas jenis-jenis nafkah, definisi dan tempohnya.
Nafkah dari segi bahasa mengikut tafsiran dalam kitab Fiqh Manhaji menyebut perkataan nafkah adalah diambil dari perkataan infaq yang bermaksud mengeluarkan. Dari segi istilahnya, nafkah bermaksud setiap apa yang dihajati oleh manusia seperti makan minum, pakaian dan tempat tinggal.

Nafkah juga bermaksud saraan hidup yang mana ianya satu keperluan manusia. Manusia memerlukan makanan, pakaian dan tempat tinggal yang merupakan asas untuk hidup.

Kita percaya yang semua orang maklum bahawa tanggungjawab memberi nafkah adalah tertangung ke atas kaum lelaki. Baik suami ataupun bapa. Suami bertanggungan menanggung nafkah isteri, bapa pula bertanggungan menanggung nafkah anak.

Dalam ayat 34 Surah An nisa yang bermaksud:

“ kaum lelaki adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan dan memberi nafkah sebahagian dari harta mereka.

Sabda Rasulullah S.A.W di dalam hadith yang diriwayatkan oleh al Tirmidzi yang bermaksud :

“Dan hak-hak isteri ke atas kamu (suami) hendaklah berbuat baik ke atas mereka (isteri-isteri) dan kewajipan ke atasmu memberi makan dan pakaian mereka menurut yang sesuai”.

Kelayakan isteri menerima nafkah adalah atas sebab wujudnya ikatan pernikahan yang sah. Dalam kitab Fiqh sunnah Jilid 4 muka surat 236 menyebut:

Syarat-syarat perempuan yang berhak menerima nafkah suami adalah seperti berikut:

1 Ikatan pernikahan yang sah,
2 Menyerahkan dirinya kepada suami
3 suaminya dapat menikmati dirinya
4 tidak menolak apabila diajak berpindah ke tampat yang dikehendaki  
   suaminya
5 kedua-duanya saling dapat menikmati kehidupan suami isteri

NAFKAH DALAM PERKAHWINAN VS NAFKAH SELEPAS PERCERAIAN
Nafkah dalam tempoh perkahwinan dengan selepas perceraian secara dasarnya tidak ada beza dari segi konsep nafkahnya. Ianya masih dianggap sebagai keperluan dan saran hidup. Masa berkahwin ianya untuk keperluan hidup, selepas bercerai pun ianya masih sama. Orang yang menanggungnya juga sama iaitu kaun lelaki.
Apa yang sedikit membezakan hanyalah pada nafkah isteri. Pada nafkah anak ianya tetap sama. Mari kita lihat apa perbezaannya sekali imbas.
Nafkah isteri dalam tempoh kahwin dipanggil nafkah isteri manakala untuk selepas bercerai tiada lagi nafkah isteri tetapi dipanggil nafkah iddah untuk bekas isteri.
Nafkah isteri diwajibkan selagi mana tempoh perkahwinan itu wujud iaitu selagimana ikatan perkahwinan itu ada selagi itulah nafkah itu diwajibkan. Nafkah iddah pula hanya untuk tempoh iddah yang mana akan tamat bila tamatnya tempoh iddah.  
Bagi nafkah anak, ianya tetap sama. Nafkah anak tidak ada perbezaan samada dalam tempoh perkahwinan atas selepas perceraian.

TATACARA MENUNTUT NAFKAH DI MAHKAMAH SYARIAH

Di mahkamah syariah ada 4 jenis  tuntutan yang melibatkan nafkah difailkan iaitu (1) Nafkah isteri (2) Nafkah Iddah (3) Nafkah tertunggak (4) Nafkah anak. Memandangkan nafkah tertanggung atas kaum lelaki, semua tuntutan nafkah di mahkamah syariah difailkan oleh kaum wanita samada isteri, bekas isteri dan ibu. Tiada tuntutan nafkah yang difailkan suami atau bapa. Berikut saya kongsikan beberapa langkah dan cara menuntut nafkah di mahkamah syariah.

PROSESNYA
Ø  Kenal pasti dulu nafkah apa yang puan bercadang hendak tuntut di mahkamah. Sebab kalau tidak tahu nafkah apa yang hendak di tuntut anda akan stuck semasa hendak mengisi borang mahkamah. Anda kena tahu samada hendak tuntut nafkah anak, nafkah iddah atau tunggakan nafkah.
Ø  Jika anda telah pasti apa yang hendak dituntut, pegi ke mahkamah syariah berdekatan tempat anda bermastautin. Jika anda tinggal di Petaling jaya, pergilah ke Mahkamah Rendah Syariah Petaling jaya. Begitulah bagi mahkamah di tempat lain.
Ø  Minta borang tuntutan nafkah di kaunter. Jika anda hendak tuntut nafkah anak, mintalah borang tuntutan nafkah anak, jika nak tuntut nafkah iddah mintalah borang nafkah iddah. Ianya mudah jika anda telah pasti apa tuntutan yang hendak dituntut.
Ø  Isi borang dalam 3 salinan (boleh juga isi satu kemudian buat copy lagi 2). Semua dokumen pun kena ada 3 copy. Dokumen asas yang kena bawa adalah ic, surat nikah @ surat cerai, surat beranak anak-anak (jika ada anak). Ingat bawa 3 copy setiap satu.
Ø  Anda isi sahaja tempat kosong dalam borang itu. Borang mahkamah mungkin nampak rumit bagi yang tidak biasa, tetapi ianya mudah difahami sebab dah disediakan ruang kosong untuk anda isi.
Ø  Sudah siap isi hantar sahaja semula di kaunter untuk difailkan. Bayar fees untuk pendaftaran sekitar RM40-RM50 kemudian dapatkan tarikh untuk hadir ke mahkamah (tidak lebih dari 21 hari dari tarikh difailkan).

KADAR DAN KIRAAN NAFKAH
Dalam pengalaman saya mengendalikan kes-kes di mahkamah syariah, bila membicarakan isu nafkah, kadar nafkahlah yang selalu menjadi persoalan orang awam. Berapa kadar nafkah yang hendak dipohon? Macamana nak kira? Berapa yang hendak dituntut?
Tuntutan nafkah tiada cara kiraan yang khusus dan juga tiada kadar yang khusus ditetapkan hokum syarak. Undang-undnag juga tidak menetapkan kadar tersebut. Apa yang diperuntukkan hanyalah kewajipan memberi nafkah. Justeru itu, berkaitan dengan kadar ianya bergantung kepada keperluan dan kemampuan.
Justeru, artikel ini akan berkongsi sedikit info mengenai perkara tersebut berdasarkan sedikit ilmu yang saya ada. Ingin saya tekankan di sini bahawa setipa orang berbeza cara tuntutan dan kiraannya. Ada orang awam atau Peguam Syarie yang meletakkan kiraannya sendiri berbeza dengan orang lain. Ini sesuatu yang biasa. Bak kata pepatah “lain padang lain belalang” lain orang lain caranya. Apa yang saya kongsikan hanya sebagai panduan sahaja.

Di bawah ini saya tunjukkan contoh kiraan yang anda boleh guna sebagai panduan.
(1)          Makan minum
Kiraan untuk makan minum diambil secara harian sebab hari-hari kena makan. Anda boleh letak kiraanya begini
Contoh RM 15 sehari (Pagi RM 5 + Tengahari RM 5 + Malam RM 5) x 30 hari = RM 450.00

(2)          Pakaian
Untuk pakaian, syarak meletakkan nafkah dari segi pakaian adalah memadai dengan dua persalinan setahun. Jadi, anda boleh letakkan satu jumlah yang kecil untuk sebulan. Contohnya RM20 sebulan. Jadi bila cukup 6 bulan ianya menjadi RM 120.00 jadi bolehlah anda membeli baju, seluar, kasut dan sebagainya.

(3)          Tempat tinggal
Bagi kadar tempat tinggal, anda boleh mengambil kiraan mengikut kadar sewa atau kadar bayaran bulanan pinjaman. Contoh sewa RM 500. Jadi jumlah ini anda boleh letakkan sebagai kadar nafkah tempat tinggal.

Jika anda menuntut nafkah anak, hanya keperluan anak sahaja yang dituntut. Tidak boleh masukkan sekali kepeluan ibu. Sebagai contoh sebuah rumah didiami oleh ibu dan anak (2 orang). Anda perlu asingkan nafkah tempat tinggal antara ibu dan anak. Jadi jika ibu menyewa sebuah rumah sewa berharga RM 400. Tuntutan nafkah anak hanya RM 200 kerana RM 400 dibahagi 2 = 200.
Jika tempat tinggal telah disediakan, jadi nafkah ini tidak perlu lagi dituntut.
(4)          Yuran Sekolah
Bagi tuntutan nafkah anak, kos pendidikan anak-anak boleh dituntut. Justeru, yuran persekolahan boleh diletakkan dalam tuntutan nafkah anak-anak. Ini kebiasaannya bagi anak-anak yang bersekolah di sekolah berbayar.

(5)          Wang saku
Wang saku dituntut untuk keperluan anak dan perbelanjaan mereka di sekolah. Cara kiraan yang boleh diambil adalah dengan mengambil kira berapa duit belanja yang diberikan kepaa anak setiap hari persekolahan.
Contohnya: RM 4 x 20 hari persekolahan = RM 80.00

Tuntutan nafkah tahunan.
Selain tuntutan secara bulanan, anda juga boleh menuntut keperluan tahunan terutamanya untuk anak-anak. Pembayaran untuk keperluan ini juga dibayar secara tahunan iaitu hanya setahun sekali. Anda boleh menuntut nafkah secara tahunan bagi keperluan awal persekolahan dan juga perayaan.

(6)          Perbelanjaan awal sekolah
Perbelanjaan ini untuk tuntutan dalam nafkah anak. Ianya meliputi keperluan untuk membeli buku-buku persekolahan, pakaian, kasut, dan juga pendaftaran yuran awal masuk persekolahan. Tidak dinafikan kos untuk awal persekolahan semakin tinggi. Justeru anda boleh menuntut dari bapa untuk menanggung kos tersebut. Kadar untuk tuntutan ini boleh dianggarkan mengikut kos masuk sekolah untuk tahun-tahun sebelumnya.
Jika anda telah dibekalkan dengan senarai keperluaan anda untuk masuk sekolah, boleh gunakan jumlah yang dinyatakan dalam senarai tersebut sebagai tuntutan perbelanjaan awal persekolahan.

(7)          Perayaan    
Tuntutan kos untuk perayaan ini juga boleh dituntut untuk keperluan anak-anak. Kebiasaannya ianya hanya untuk perayaan Aidilfitri. Anda boleh memohon untuk kos pembelian baru raya. Contohnya RM 200 untuk seorang anak.
Justeru, jika anda menuntut nafkah anak, anda boleh meletakkan kadar untuk makan minum, pakaian, tempat tinggal, wang saku, pendidikan, dan perayaan.  Anda boleh jumlahkan dan letakkannya sebagai tuntutan nafkah.
Contohnya:
Makan minum RM 10x 30       =RM 300
Tempat tinggal                         =RM 200
Pakaian                                   =RM   50
Wang saku RM 4x 20              =RM   80
                                                -------------
                             TOTAL        RM 630.00
                                                --------------
Yang penting apa yang anda letakkan sebagai tuntutan di mahkamah ada asas kiraannya.  Jika anda tuntut nafkah makan minum RM 300 sebulan, anda perlu jelaskan pada mahkamah macamaana anda kirakan RM 300 tersebut.  jadi anda bolehlah rujuk panduan di atas supaya mudah untuk anda menjawab nanti.
Suka saya ingatkan bahawa kadar nafkah yang dituntut biarlah dalam kemampuan pembayarnya. Hakim yang mengendalikan kes juga bukan sahaja melihat berapa keperluan bekas isteri atau anak, tetapi juga melihat tahap kemampuan pembayarnya. Oleh itu, pertimbangan perlu diberikan dalam menuntut nafkah. Ada ketikanya anda menuntut kadar yang tinggi tetapi mahkamah berikan hanya sedikit. Ini kerana mahkamah menilai juga tahap kemampuan pembayarnya.
Semoga artikel ini dapat memberi sedikit panduan untuk anda. Semoga ianya bermanfaat.

                                                                                      Mohamad Azlin
                                                                                      Peguam Syarie dari Tetuan Mohamad Azlin & Suriati Associates
24hb Januari 2016