Friday 14 November 2014

SUAMI MOHON POLIGAMI! APA HAK ISTERI SEDIA ADA?



HAK-HAK ISTERI SEDIA ADA BILA SUAMI MOHON BERPOLIGAMI



Islam membenarkan poligami berdasarkan firman Allah dalam surah An-nisa ayat 3 yang bermaksud:


Maka kahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan, dua, tiga atau empat. Tetapi jika kamu khuatir tidak akan mampu berlaku adil, maka nikahlah seorang sahaja.

Poligami diamalkan banyak pasangan di Malaysia. Isu poligami memberi banyak respon positif dan negatif terutamanya bagi wanita. Tidak dinafikan persepsi negatif banyak diberikan bukan sahaja melalui orang awam malah media juga memberi gambaran yang tidak enak untuk dibaca.

Poligami itu tidak pernah salah kerana ianya dibenarkan syarak melalui firman Allah, malah ianya sunnah Rasulullah S.A.W. Apa yang dibenarkan Allah dan apa yang diamalkan oleh nabi sendiri pasti sesuatu yang baik. 

Apa yang tidak baik dan silapnya ialah orang yang berpoligami itu sendiri. Banyak orang lelaki yang berpoligami itu sendiri tidak patuh pada perintah Allah dan rasul, tidak adil dan tidak bertanggungjawab. Maka jadilah pengabaian isteri dan anak-anak kerana tidak bertanggungjawab. Pihak yang paling terkesan adalah isteri pertama (sedia ada). Hak mereka selalu dinafikan. 

Artikel ini saya kongsikan hak- hak yang boleh dituntut isteri sedia ada bila timbul poligami bagi menjamin hak isteri sedia ada di kemudian hari.
           
          1-   Nafkah diri- -

Nafkah adalah satu pemberian wajib yang dipertangungjawabkan ke atas suami untuk isteri. Nafkah terdiri daripada saraan hidup seperti makan minum, pakaian, tempat tinggal. Dalam perkahwinan, suami dan isteri biasanya tidak terlalu mengasingkan atau menentukan berapa nafkah yang perlu dibayar suami kepada isterinya. Ini terjadi kerana sama-sama tinggal bersama dan makan sama-sama.

Mahkamah juga tidak menentukan jumlah nafkah yang wajib dibayar bila satu pasangan bernikah. Semua pasangan yang bernikah di Malaysia tidak ditetapkan berapa pembayaran nafkah yang wajib.

Namun dalam kes suami mohon berpoligami, semasa suami memohon untuk berpoligami, suami perlu mengisi borang permohonan untuk berpoligami.  Dalam borang tersebut, ada ruang yang perlu di isi oleh Pemohon iaitu berkaitan nafkah. Suami perlu mengisi berapa nafkah yang mahu dibayar bagi isteri sedia ada.

Apabila isteri menerima borang permohonan tersebut, maka isteri akan tahu berapa nafkah yang akan disediakan untuknya. Tanpa perlu mohon, ianya akan disebut dan dinyatakan sendiri oleh suami.

Sekiranya tiada, maka puan boleh mohon mahkamah untuk ditentukan nafkah puan dan boleh juga mohon cara pembayaran nafkah ditetapkan bagi lebih memudahkan pembayaran nafkah dibuat.

2.  Giliran bermalam- 

Isteri sedia ada boleh memohon pada mahkamah untuk menentukan giliran bermalam. Penentuan giliran bermalam hanya ditentukan mahkamah dalam kes poligami sahaja. 

Giliran bermalam biasanya di tentukan secara mingguan. Contohnya isteri pertama selama 4 malam, isteri kedua pula 3 malam ataupun mengikut kesesuaian masa yang difikirkan perlu antara suami isteri. Giliran tersebut akan diperintahkan mahkamah dalam kes poligami. Perintah tersebut perlu dipatuhi suami selepas mahkamah meluluskan permohonan poligaminya.
Penentuan giliran ini perlu supaya suami dan isteri pertama atau isteri kedua tahu dan faham giliran yang perlu mereka patuhi supaya tidak timbul isu dikemudian hari.

Dengan wujudnya perintah tersebut, maka hak isteri sedia ada terutamanya hak bermalam akan terjamin.

3.       HARTA SEPENCARIAN

Harta sepencarian adalah harta yang diperolehi suami isteri dalam tempoh perkahwinan. Harta tersebut contohnya seperti rumah, tanah, kereta, atau apa sahaja harta yang diperolehi dalam tempoh kahwin mereka.

Dalam permohonan poligami, isu harta sepencarian juga akan dibincangkan. Harta-harta yang diperolehi dalam tempoh perkahwinan yang pertama akan ditentukan yang mana satu milik isteri dan milik suami.

Penentuan harta sepencarian tersebut perlu kerana suami akan berkahwin baru dan mula memperolehi harta-harta yang baru dengan isteri kedua. Justeru harta-harta sepencarian perlu ditentukan dan dibahagikan siap-siap supaya tidak bercampur antara harta dengan isteri pertama dengan harta dengan isteri kedua.

Penentuan ini dapat menyenangkan pihak-pihak dan menghindar dari wujudnya perebutan harta di kemudian hari.

Kesimpulan

Dalam permohonan poligami, mahkamah bukan sahaja mengambil kira kemampuan suami. Malah hak-hak isteri sedia ada juga akan didengar dan ditentukan bagi menjamin hak mereka tidak dinafikan dan diabaikan. Oleh itu, mohonlah hak anda.

Moga apa yang dikongsikan dapat memberi manfaat untuk pembaca. Wassalam.

Peguam Syarie Mohamad
13hb November 2014

Tuesday 20 May 2014

APA PERLU DIBUAT JIKA TERJEBAK DENGAN NIKAH SINDIKET?



APA PERLU DIBUAT JIKA TErjebak dengan NIKAH SINDIKET?



Pernikahan sindiket merupakan sesuatu yang sering berlaku dalam negara kita. Pernikahan sindiket ini bukan sahaja di luar Negara malah dalam Negara pun berlaku juga. Secara ringkas nikah sindiket ini bermaksud pernikahan yang diuruskan oleh sindiket.

Sebagai peguam saya selalu berjumpa dengan pasangan yang telah bernikah secara sindiket. Banyak antara mereka yang buntu dan keliru apa perlu dibuat bila tahu yang mereka bernikah secara sindiket.

Oleh itu, artikel ini ditulis untuk berkongsi dengan pembaca tentang apa langkah yang perlu dibuat kalau benar anda bernikah secara sindiket.

Pertama sekali pembaca perlu tahu bahawa tidak semua nikah sindiket itu menyebabkan nikah tidak sah. Ada juga yang sah. Ada pernikahan secara sindiket yang menepati rukun syarak dari segi proses pernikahan, oleh itu selagi ianya menepati hukum syarak maka ia adalah sah.

(1)      Pastikan dulu samada nikah anda sindiket atau tidak. Cara untuk pastikan adalah anda kena check di Pejabat Agama Islam. Kalau surat nikah negeri Selangor, pergilah ke Jabatan Agama Islam Selangor.
          Setiap perkahwinan di Malaysia adalah didaftarkan secara lengkap. Semua maklumat perkahwinan ada dalam data pejabat agama. Check dengan pejabat agama, ada atau tidak pernikahan anda berdaftar di Pejabat Agama.  Jika tidak berdaftar, maka kemungkinan besar ianya sindiket. Ada juga no siri pada surat nikahnya ada tetapi milik orang/ pasangan lain. maka itu juga kemungkinan nikah sindiket.

(2)      Failkan permohonan pengesahan nikah di mahkamah syariah di daerah anda tinggal.
          Bila telah pasti nikah anda tidak berdaftar, buat pengesahan nikah di mahkamah syariah. Tujuannya untuk pastikan samada nikah anda sah atau tidak. 
Mahkamah akan menyiasat seluruh proses pernikahan anda baik dari segi akad nikahnya, walinya, jurunikahnya, serta pengantin lelaki dan perempuan. Jika sah, maka nikah anda boleh didaftarkan dan surat nikah yang baru dan berdaftar akan diberikan kepada anda.

Jika tidak sah, maka pernikahan anda akan difarakkan dan anda akan dinasihatkan untuk bernikah semula dengan cara yang betul.

(3)      Jika pernikahan anda ada dikurniakan cahaya mata dan nikah anda diputuskan tidak sah.
          Sekiranya mahkamah telah memutuskan bahawa pernikahan anda tidak sah dan anda telahpun ada zuriat, anda perlu memfailkan permohonan nasab anak di mahkamah syariah juga. Tujuannya untuk mendapat kepastian tentang status nasab anak tersebut samada boleh dinasabkan kepada bapa atau tidak.
         
Sekiranya mahkamah memutuskan boleh dinasabkan maka anak tersebut boleh di”bin”kan kepada bapa. Jika tidak maka tidak boleh di”bin”kan kepada bapa dan kebiasaannya dibinkan dengan Abdullah.

Moga dengan info ringkas ini dapatlah memberi manfaat kepada pembaca.

Peguam Syarie Mohamad
20hb Mei 2014