SALAH FAHAM TENTANG NAFKAH MENYEBABKAN IBU TIDAK TUNTUT NAFKAH.
Bila kita bercakap
tentang nafkah, kita tak dapat lari dari isu yang selalu kita dengar berkaitan
pengabaian nafkah. Itulah antara isu yang paling kerap kita dengar dan kita
baca.
Sungguhpun orang awam
banyak didedahkan dengan banyak maklumat tentang nafkah baik dari bahan bacaan,
artikel mahupun rancangan di televisyen masih terdapat masyarakat yang kurang pengetahuannya
tentang nafkah walaupun telah lama berumahtangga.
Tidak hairanlah bila kita
dengar para isteri atau bekas isteri dan anak-anak banyak terabai dari segi
nafkah. Masyarakat membuat kesimpulan ianya atas sebab pada suami tidak bertanggungjawab.
Tak dinafikan itu
antara sebab utama berlakunya pengabaian nafkah. Namun ada keadaan di mana para
ibu seolah “ditipu” oleh bapa kerana salah faham isu nafkah. Maaf, bunyinya agak kasar
tapi itulah hakikatnya.
Banyak berlaku salah faham tentang nafkah. Antara salah faham yang selalu dipercayai oleh para ibu adalah siapa yang dapat penjagaan anak maka orang itulah yang kena menanggung keperluan nafkah anak-anak. So kalau ibu yang dapat penjagaan anak, so ibulah yang kena menanggung sepenuhnya.
Awak yang dapat jagaan so pandai- pandai la tanggung. Pernah dengar tak statement macam ni? Mesti pernah kan!
Ini lah antara statement
yang sering menjadi modal bapa untuk mengelak dari membayar nafkah.
Lebih malang lagi bila
si ibu pula percaya pada statement tersebut. Percaya yang statement itu betul
sedangkan ianya kepercayaan yang tidak betul.
Bila para ibu percaya pada
statement itu, mereka pun tidak membuat apa apa tuntutan nafkah anak kerana
beranggapan tidak ada hak untuk menuntut. Mereka percaya bila sudah dapat
penjagaan anak maka terpaksalah menanggung sendiri nafkah anak-anak di bawah
jagaannya. Kalau anak seorang, boleh la tapi kalau anak ramai macamana nak survive?
Suka saya nak kongsikan
yang statement ni sebenarnya tak betul puan puan. Kena ingat nafkah anak-anak
adalah atas tanggungan bapa. Bapa yang bertanggungan menanggung nafkah
anak-anak tidak kira siapa yang menjaganya. Kalau bapa yang mendapat hak
penjagaan anak, bapa yang kena tanggung nafkah. Kalau ibu yang mendapat hak
penjagaan anak, bapa masih bertanggungan menanggung nafkah anak-anak tersebut. Ibu
bertanggungan menjaga anak, nafkah masih dari bapa.
Mari kita lihat firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan ibu-ibu
hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap, iaitu bagi orang
hendak menyempurnakan penyusuan itu: dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan
dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan
seseorang melainkan menurut kemampuannya." (Surah al-Baqarah, ayat 233)
Sarjana Islam juga menguatkan pendapat mereka dengan merujuk
hadis yang melaporkan seorang isteri bernama Hind binti Utbah, telah datang
kepada Nabi SAW dan membuat aduan terhadap suaminya iaitu Abu Sufyan.
Beliau mendakwa suaminya gagal menyediakan penyelenggaraan dan
nafkah yang mencukupi untuknya dan anak-anak. Ketika bertemu Baginda, Hind
berkata, "Abu Sufyan adalah kedekut. Dia tidak memberikan yang cukup untuk
anak dan saya, kecuali saya mengambilnya secara diam-diam. Nabi kemudian
berkata: Ambil apa yang anda dan anak perlu secara munasabah (bi
al-makruf)."
Undang-undang juga menyebut Seksyen 72
Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984
menyatakan, "Adalah menjadi kewajipan seseorang lelaki menanggung nafkah
anaknya dengan mengadakan tempat tinggal, pakaian, makanan, perubatan dan
pelajaran sebagaimana yang munasabah berdasarkan kemampuan dan taraf kehidupannya
atau dengan membayar kosnya."
Justeru, para ibu kena
ingat, nafkah anak-anak masih ditanggungan oleh bapa walaupun para ibu yang
diberikan hak jagaan. Jadi jangan salah faham lagi hingga para ibu terbeban dan
tertekan.
Namun ada baiknya para
ibu yang ada kemampuan lebih boleh sama-sama menanggung membantu para bapa
dengan menampung nafkah yang tidak mampu ditanggung para bapa atas ihsan untuk
kebajikan anak-anak juga.
So jangan salah faham
lagi ye. Moga ada manfaat untuk semua.
Tuan Mohamad Azlin
Tetuan Mohamad Azlin & Suriati Associates
Ampang, Selangor