Gantung tidak
bertali. Delima dan jalan
keluarnya.
Rumah
tangga yang bahagia menjadi impian setiap pasangan yang bernikah. Sejak dari
menjalinkan hubungan kasih dan cinta hingga mendirikan rumah tangga semuanya
membayangkan rumahtangga mereka bahagia. Tiada siapa yang mahu rumahtangga
mereka bermasalah, bergolak hingga bercerai.
Namun
dalam rumahtangga, ujian dan dugaan tidak pernah putus. Suami diuji, isteri pun
diuji. Pelbagai masalah timbul hingga kadangkala hubungan yang dibina putus.
Sebab itu, ikatan rumah tangga itu disamakan dengan bahtera di lautan. Setiap
masa ombak akan datang menghentam sisi bathera kiri dan kanan. Jika bahtera
tidak teguh, nakhoda pula tidak berpengalaman dan tidak ada ilmu mengendalikan
bahtera. Nescaya bahtera akan tenggelam kerana tidak tahan dihemtam ombak.
Bagi
isteri, kebanyakkan kes atau aduan yang direpotkan adalah mengenai masalah
nafkah, keganasan rumah tangga dan juga masalah gantung tidak bertali.
Gantung
tidak bertali ini adalah satu gelaran atau perumpamaan yang diberikan orang
melayu kepada isteri yang ditinggalkan suami. Secara mudahnya difahami, isteri
yang ditinggalkan atau dibiarkan suami tanpa nafkah, tanpa perhatian, tanpa
perhubungan, tanpa berita.
Isteri
yang mengalami masalah ini jika hendak dikatakan berkahwin tetapi suami tiada,
hendak dikatakan tidak berkahwin tetapi berstatus isteri. Inilah delima yang
dialami sebahagian wanita yang digantung tidak bertali. Ada yang bersabar dan
redho, ada juga yang ambil tindakan menuntut hak.
APA YANG PERLU DIBUAT?
Persoalan
sebegini selalu bermain di fikiran wanita yang digantung tidak bertali.
Kebanyakkannya tidak tahu apa yang dibuat dan lebih malang lagi percaya yang
tiada jalan langsung untuk menyelesaikan masalah mereka. Mereka lebih selesa
berdiam diri dan memendam rasa dan terus dengan keadaan mereka yang dianiayai.
Sebenarnya
ada jalan dan cara yang boleh membantu untuk menyelesaikan masalah anda. Cuma
ianya bergantung samada mahu mengorak langkah atau tidak. Di sini saya
kongsikan langkah atau jalan yang boleh diambil untuk menyelesaikan masalah
gantung tidak bertali.
PERTAMA: ADUAN DI PEJABAT
AGAMA.
Anda
boleh membuat aduan di pejabat agama di tempat anda untuk mendapatkan sesi
kaunseling. Bila aduan di buat kedua-dua pihak iaitu suami dan isteri akan
dipanggil hadir sesi kaunseling. Sesi kaunseling bertujuan untuk mencari jalan
perdamaian, khidmat nasihat dari pegawai yang bertauliah serta langkah-langkah
yang perlu untuk membetulkan semula kerukunan rumah tangga anda. Nasihat dan
panduan akan diberikan kepada anda oleh pegawai dari pejabat agama.
Masa
sesi kaunseling inilah anda perlu suarakan isu dan masalah yang anda hadapi.
Bila masalah disuarakan maka pegawai agama akan nasihatkan pihak suami supaya
lebih bertanggungjawab.
Sesi
kaunseling ini hanya melibatkan anda dan pasangan di mana ianya dapat membantu
anda dan pasangan mengenal pasti masalah dan penyelesaian nya dengan bantuan
kaunselor. Dengan kehadiran suami isteri ke sesi kaunseling dan hasrat untuk
berubah nescaya rumah tangga anda dapat dipulihkan semula. Yang penting buat
aduan dan jangan berdiam diri sahaja.
KEDUA: PERMOHONAN CERAI DI MAHKAMAH
Sekiranya
sesi kaunseling juga masih gagal, aduan dah dibuat Cuma pasangan anda tidak
mahu hadir ataupun hadir tetapi perbincangan tidak dapat menyelesaikan masalah
anda.
Maka
anda boleh membuat permohonan cerai cara baik di mahkamah. Setelah kaunseling
gagal atau suami tidak mahu hadir ke sesi kaunseling, itu satu signal bahawa
usaha untuk berbaik semula gagal.
Suka
saya nasihatkan bahawa perceraian ini biarlah menjadi jalan terakhir setelah
semua usaha anda untuk berbincang dan kaunseling gagal.
Apa
yang anda boleh buat adalah buat permohonan cerai secara baik di mahkamah. Penyelesaian
secara baik adalah lebih baik dan lebih diutamakan. Perceraian secara baik dapat
menutup aib dan masalah dari diketahui orang luar. Biar selesai cara baik.
Bila
permohonan dibuat, mahkamah akan panggil suami untuk hadir dan menyatakan
pendiriannya. Jika suami setuju setelah lama tinggal berasing, suami akan
lafaz. Masalah anda selesai.
Sememangnya
perceraian sesuatu yang dianggap tidak wajar dan tidak elok di sisi masyarakat,
namun hidup dalam rumah tangga yang tidak ada tanggungjawab, tidak ada kasih
sayang dan terus menerus diabaikan adalah sesuatu yang lebih tidak elok. Rumah
tangga yang sebegini tidak memenuhi kehendak syarak. Syarak menggariskan tujuan
berumah tangga adalah untuk kamu bersenang-senang dan memupuk kasih sayang di
samping menjaga amanah serta tanggung jawab kerana Allah.
Perkahwinan
ada hikmahnya begitu juga perceraian. Paling tidak pun setelah perceraian
berlaku status anda jelas dan diketahui serta banyak perkara boleh dibuat.
Berbeza sekiranya anda terus bergantung tidak bertali.
KETIGA: FASAKH
Fasakh
bermaksud perceraian dengan perintah mahkamah. Fasakh adalah salah satu bentuk
perceraian yang boleh difailkan oleh isteri terhadap suaminya.
Sekiranya
kaunseling gagal, perceraian secara baik juga gagal, maka permohonan cerai
secara fasakh boleh menjadi langkah akhir untuk anda. Tuntutan cerai fasakh
tidak memerlukan sangat kehadiran suami berbeza dengan perceraian cara baik. Sekiranya
anda dah lama ditinggalkan suami dan anda tak tahu di mana suami berada , maka
cara ketiga ini boleh menjadi pilihan anda.
Caranya
adalah anda buat permohonan di mahkamah, mahkamah akan panggil suami. Jika
suami hadir maka kes anda boleh diteruskan. Namun sekiranya dokumen telah
diserahkan kepada suami atau suami tidak diketahui berada di mana, atau suami
enggan hadir, tuntutan fasakh masih
boleh diteruskan.
Dalam
permohonan fasakh, anda boleh mengemukakan isu nafkah, nafkah batin sebagai
alasan tuntutan carai fasakh. Bila mahkamah pertimbangkan tuntutan anda dan di
buktikan dengan bukti yang kukuh serta saksi. Tuntutan fasakh boleh dibenarkan
dan mahkamah boleh membubarkan ikatan perkahwinan anda dan pasangan. Bila
perceraian disahkan atau perkahwinan dibubarkan, masalah gantung tidak bertali
tidak timbul lagi.
Kesimpulan.
Masalah
gantung tidak bertali ini semakin menjadi isu yang besar dalam masyarakat kita.
Ada yang menempuhnya dengan tenang, sabar dan berdiam diri. Ada juga yang
mengambil langkah menyelesaikan isu gantung tidak bertali ini. Semuanya
bergantung kepada diri sendiri. Masalah ini lebih memberi kesan buruk kepada si
isteri, lebih –lebih lagi yang hanya berdiam diri.
Moga
artikel ini sedikit sebanyak dalam membantu masyarakat di luar sana terutamanya
isteri –isteri yang menghadapi masalah yang sama. Moga ada manfaat.
Peguam
Syarie Mohamad
07.11.15