Tuesday, 24 August 2021

HARTA SEPENCARIAN. APA YANG DIKIRA "SUMBANGAN" UNTUK SURIRUMAH

 




SURI RUMAH TIADA SUMBANGAN TERHADAP HARTA SEPENCARIAN? BIAR BETUL?


Bila kita bercakap tentang harta sepencarian, umum mengetahui ianya harta yang diperolehi dalam tempoh perkahwinan. Dalam istilah mudahnya harta suami isteri yang sama-sama cari yang sama-sama perolehi sepanjang tempoh kahwin. Boleh jadi harta tu berbentuk sebuah rumah, tanah atau kereta.

Isu harta sepencarian biasa timbul bila berlaku perceraian antara suami dan isteri. Isunya bagaimana nak membuat pembahagian dan nak menentukan harta sepencarian tersebut menjadi milik siapa.

Maka timbullah tuntutan harta sepencarian di Mahkamah Tinggi Syariah. Suami atau isteri menuntut agar mahkamah Syariah mengeluarkan satu perintah tentang pembahagian harta sepencarian mereka. Betul ka harta itu harta sepencarian? Siapa yang layak dapat dan berapa bahagiannya.

Tahukah anda, dalam nak menentukan pembahagian harta sepencarian selepas perceraian, antara perkara utama yang mahkamah pertimbangkan adalah “sumbangan”.

Jadi dalam membuat tuntutan harta sepencarian, masing-masing perlu mengemukakan pada mahkamah sejauhmana sumbangan mereka dalam perolehan harta tersebut. Sumbangan ni boleh datang dalam 2 bentuk iaitu sumbangan secara langsung dan sumbangan tidak langsung.

>Sumbangan langsung atau direct contribution merujuk kepada sumbangan kewangan seperti pembayaran deposit, duit booking, duit bayar peguam, bayaran pinjaman, renovation dan apa-apa yang melibatkan pembayaran kewangan.

Suami isteri masing-masing ada keluarkan duit untuk memperolehi harta tersebut walaupun mungkin jumlah masing-masing berbeza.

>Manakala bagi sumbangan tak langsung atau indirect contribution ni merujuk kepada sumbangan yang tidak melibatkan kewangan contohnya sumbangan dari segi tenaga, moral support, sumbangan dari segi tanggungjawab menjaga keluarga, penjagaan rumah atau menjaga keselamatan rumah.

Contohnya paling senang nak faham adalah surirumah. Kebanyakkan suri rumah tidak mempunyai pendapatan tetapi khidmat mereka pada keluarga sangat besar. Betul tak?

Tugas mereka pada keluarga, jaga suami, jaga anak-anak, jaga keluarga, uruskan makan minum, jaga rumah, kemas rumah dan pelbagai lagi urusan rumahtangga yang kalau nak disenaraikan memang banyak.

Ini yang dinamakan sumbangan tak lansung. Sumbangan surirumah tersebut menyebabkan suami boleh keluar bekerja dengan tenang, aman, selesa, selamat dan dapat menjalankan pekerjaan dengan baik hingga memperolehi pendapatan dan dapat boleh memperolehi harta. Inilah yang kita sebut sebagai sumbangan.

Kebanyakkan surirumah bila bercakap tentang harta sepencarian mula risau sebab tiada sumbangan. Sebab ramai orang faham yang harta sepencarian ni kalau nak dapat mesti ada sumbangan dari segi kewangan. Itu sebenarnya tidak tepat. Kalau itulah asasnya, maka teraniayalah suri rumah yang tidak mempunyai pendapatan.
Sumbangan mereka dalam rumah tangga tu sangat la besar. Dari pagi sampai ke malam tak henti dengan urusan rumahtangga. Malah mungkin mungkin lebih memenatkan compare to mereka yang keluar bekerja.

Sumbangan inilah yang diambil kira dan dipertimbangkan untuk menentukan bahagian mereka dalam harta sepencarian. So suri rumah sebenarnya ada sumbangan dan ada bahagian terhadap harta sepencarian.

Cuma mungkin ramai yang tidak tahu. Dapat sesuatu? Kongsikan lah..Moga artikel ni dapat beri pencerahan dan info buat pembaca.

Moga ada manfaat.

Tuan Mohamad Azlin.


Friday, 13 November 2020

SALAH FAHAM TENTANG NAFKAH MENYEBABKAN PARA IBU TIDAK TUNTUT NAFKAH


SALAH FAHAM TENTANG NAFKAH MENYEBABKAN IBU TIDAK TUNTUT NAFKAH.

 

Bila kita bercakap tentang nafkah, kita tak dapat lari dari isu yang selalu kita dengar berkaitan pengabaian nafkah. Itulah antara isu yang paling kerap kita dengar dan kita baca.

Sungguhpun orang awam banyak didedahkan dengan banyak maklumat tentang nafkah baik dari bahan bacaan, artikel mahupun rancangan di televisyen masih terdapat masyarakat yang kurang pengetahuannya tentang nafkah walaupun telah lama berumahtangga.

Tidak hairanlah bila kita dengar para isteri atau bekas isteri dan anak-anak banyak terabai dari segi nafkah. Masyarakat membuat kesimpulan ianya atas sebab pada suami tidak bertanggungjawab.

 

Tak dinafikan itu antara sebab utama berlakunya pengabaian nafkah. Namun ada keadaan di mana para ibu seolah “ditipu” oleh bapa kerana salah faham isu nafkah. Maaf, bunyinya agak kasar tapi itulah hakikatnya.

 

Banyak berlaku salah faham tentang nafkah. Antara salah faham yang selalu dipercayai oleh para ibu adalah siapa yang dapat penjagaan anak maka orang itulah yang kena menanggung keperluan nafkah anak-anak. So kalau ibu yang dapat penjagaan anak, so ibulah yang kena menanggung sepenuhnya. 

Awak yang dapat jagaan so pandai- pandai la tanggung. Pernah dengar tak statement macam ni? Mesti pernah kan!

Ini lah antara statement yang sering menjadi modal bapa untuk mengelak dari membayar nafkah.

Lebih malang lagi bila si ibu pula percaya pada statement tersebut. Percaya yang statement itu betul sedangkan ianya kepercayaan yang tidak betul.

Bila para ibu percaya pada statement itu, mereka pun tidak membuat apa apa tuntutan nafkah anak kerana beranggapan tidak ada hak untuk menuntut. Mereka percaya bila sudah dapat penjagaan anak maka terpaksalah menanggung sendiri nafkah anak-anak di bawah jagaannya. Kalau anak seorang, boleh la tapi kalau anak ramai macamana nak survive?

 

Suka saya nak kongsikan yang statement ni sebenarnya tak betul puan puan. Kena ingat nafkah anak-anak adalah atas tanggungan bapa. Bapa yang bertanggungan menanggung nafkah anak-anak tidak kira siapa yang menjaganya. Kalau bapa yang mendapat hak penjagaan anak, bapa yang kena tanggung nafkah. Kalau ibu yang mendapat hak penjagaan anak, bapa masih bertanggungan menanggung nafkah anak-anak tersebut. Ibu bertanggungan menjaga anak, nafkah masih dari bapa.

 

Mari kita lihat firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap, iaitu bagi orang hendak menyempurnakan penyusuan itu: dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya." (Surah al-Baqarah, ayat 233)

Sarjana Islam juga menguatkan pendapat mereka dengan merujuk hadis yang melaporkan seorang isteri bernama Hind binti Utbah, telah datang kepada Nabi SAW dan membuat aduan terhadap suaminya iaitu Abu Sufyan.

Beliau mendakwa suaminya gagal menyediakan penyelenggaraan dan nafkah yang mencukupi untuknya dan anak-anak. Ketika bertemu Baginda, Hind berkata, "Abu Sufyan adalah kedekut. Dia tidak memberikan yang cukup untuk anak dan saya, kecuali saya mengambilnya secara diam-diam. Nabi kemudian berkata: Ambil apa yang anda dan anak perlu secara munasabah (bi al-makruf)."

Undang-undang juga menyebut Seksyen 72 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 menyatakan, "Adalah menjadi kewajipan seseorang lelaki menanggung nafkah anaknya dengan mengadakan tempat tinggal, pakaian, makanan, perubatan dan pelajaran sebagaimana yang munasabah berdasarkan kemampuan dan taraf kehidupannya atau dengan membayar kosnya."

Justeru, para ibu kena ingat, nafkah anak-anak masih ditanggungan oleh bapa walaupun para ibu yang diberikan hak jagaan. Jadi jangan salah faham lagi hingga para ibu terbeban dan tertekan.

 

Namun ada baiknya para ibu yang ada kemampuan lebih boleh sama-sama menanggung membantu para bapa dengan menampung nafkah yang tidak mampu ditanggung para bapa atas ihsan untuk kebajikan anak-anak juga.

 

So jangan salah faham lagi ye. Moga ada manfaat untuk semua.

 

Tuan Mohamad Azlin

Tetuan Mohamad Azlin & Suriati Associates

Ampang, Selangor

 



 

Thursday, 3 October 2019

NAFKAH IDDAH & TUNTUTANNYA DI MAHKAMAH SYARIAH






ANDA HENDAK MENUNTUT NAFKAH IDDAH DI MAHKAMAH SYARIAH. 


Saya kongsikan 4 TIPS penting yang akan memudahkan proses tuntutan nafkah iddah tersebut. 


Iddah dari sudut bahasa bermaksud pengiraan yang diambil daripada perkataan (adad) yang memberi makna bilangan kerana ia mengandungi tempoh suci ataupun bilangan bulan. 

Ianya juga merupakan satu masa yang ditentukan untuk menamatkan apa-apa kesan daripada perkahwinan. Apabila berlaku perpisahan di antara seorang lelaki dengan isterinya maka hubungan perkahwinan antara isteri dengan suaminya tidak akan terputus kesemuanya hanya dengan berlakunya perpisahan, bahkan isterinya wajib menahan dirinya dan tidak mengahwini orang lain sehinggalah tamat tempoh yang telah ditetapkan oleh syarak tadi dan disyariatkan kerana asalnya dalam perceraian adalah talak raj’ie (talak satu dan dua) maka semestinya wujud peluang bagi pihak lelaki untuk rujuk kembali kepada isterinya.

Bila sebut nafkah iddah, rata-rata orang tahu ianya salah satu hak isteri yang timbul selepas perceraian berlaku. Selain dari Mutah, nafkah anak, nafkah tertunggak, nafkah iddah adalah salah satu kes yang difailkan di mahkamah selepas perceraian.

Namun dalam urusan memfailkan kes nafkah iddah ini di mahkamah, ada juga yang hadapi masalah atau kekeliruan dalam kes nafkah iddah ini. Kebiasaannya disebabkan tiada pengetahuan dan panduan bagaimana hendak memulakannya.

Artikel ini saya tulis untuk kongsikan beberapa tips penting yang boleh anda ambil sebagai panduan supaya tidak hadapi masalah nanti.

(1)                Mulakan tuntutan selepas tamat tempoh iddah.

Umum mengetahui bila bercerai maka anda sudah boleh menuntut nafkah iddah. Tapi bila waktu sebaiknya untuk menuntut. Adakah sejurus selepas bercerai, beberapa hari selepas bercerai atau nak tunggu iddah habis baru menuntut?

Sebaiknya ia dituntut selepas tamat tempoh iddah. Persoalannya  apa rasionalnya ia dituntut selepas habis tempoh iddah?

Saya banyak terima soalan sebegini dari client bila saya nasihatkan client untuk tunggu iddah tamat baru mulakan tuntutan. So saya kongsikan jawapannya dengan anda.

Tuntutan iddah ini adalah tuntutan bertempoh. Tempohnya pula tertentu iaitu hanya dalam tempoh iddah. Tempoh iddah tersebut perlu diketahui dengan jelas. Jadi bagaimana anda nak tentukan berapa lama tempoh iddah anda sebenarnya jika ianya belum tamat.

Jika anda mulakan tuntutan dalam keadaan tempoh iddah anda belum tamat. Pertamanya, sudah semestinya anda tidak pasti berapa tempoh iddah anda. Keduanya jumlah yang perlu dituntut juga tidak akan dapat dipastikan kerana tempoh iddah pun anda sendiri tidak pasti. Betul tak?

Jadi rasionalnya adalah untuk kita tahu dan jelas berapa lama tempoh iddah tersebut. Bila dah tahu tempoh yang tepat senanglah untuk membuat tuntutan. Senanglah anda hendak nyatakannya pada mahkamah.

(2)                Kirakan tempoh iddah dengan jelas dan tepat

Bila sudah tahu tempohnya secara tepat. Kirakan dan nyatakan berapa lama tempohnya dalam borang mahkamah. Contohnya tempoh iddah 62, atau 70 hari dan sebagainya. Lagi baik sebutkan bila ianya bermula dan bila ianya tamat.

Tempoh iddah berbeza antara satu sama lain. Ada iddah dikira dengan kiraan 3 kali suci dan ada yang dikira dengan tempoh mengandung hingga kelahiran anak.
Bagi tempoh 3 kali suci pula, ada orang tempohnya singkat, ada orang tempohnya lama. Iddah orang diceraikan dalam tempoh suci berbeza dengan tempoh iddah orang yang bercerai dalam keadaan haid walaupun ia dikira mengikut 3 kali suci. Kebiasaaanya isteri yang diceraikan dalam keadaan haid akan lalui tempoh iddah yang panjang berbanding yang dicerai dalam keadaan suci.

Begitu juga orang yang diceraikan dalam keadaan mengandung. Ada yang sekejap dan ada yang lama mengikut kelahiran anak yang dikandungkan. Kalau bercerai masa kadungan baru sebulan, lamalah tempoh iddahnya. Kalau bercerai masa kandungan 8 bulan, tempohnya mungkin sebulan sahaja sebab iddah orang yang mengandung dikira bila melahirkan anak.

Perlu anda ingat, mahkamah tidak tahu berapa tempoh iddah anda. Anda lah yang bertanggungan untuk beritahu fakta tersebut kepada mahkamah. Anda lah yang kena kira berapa hari iddah anda dan nyatakan kepada mahkamah. Jadi jangan lupa nyatakan tempoh iddah dan tempoh bermula dan tamat supaya mahkamah jelas dengan tempoh iddah anda.

(3)        Kirakan berapa keperluan anda

Tuntutan nafkah iddah ini bertujuan untuk menuntut nafkah dan keperluan yang digunakan dalam tempoh iddah anda. jadi anda mesti kemukakan kepada mahkamah apa yang anda belanjakan.

Senaraikan secara teratur satu persatu keperluan tersebut dan jumlahnya. Antara keperluan yang boleh anda tuntut antaranya makan minum, pakaian, tempat tinggal, kebersihan diri dan keperluan kesihatan.

Buatkan senarai supaya mudah dibaca. Sebagai contoh rumah RM 800, Makan minum RM 1000 dan sebagainya.

Tidak cukup itu sahaja, anda MESTI tunjukkan kepada mahkamah bagaimana anda buat kiraan hingga dapat jumlah tersebut.

Sebagai contoh tempoh iddah anda 70 hari. Makan minum anda kira RM 10 satu hari (ini contoh je ye). Jadi 10 x 70 hari = RM 700.00. So boleh faham ye.

Ini saya nak nasihatkan supaya anda jangan hanya letak jumlah sahaja tapi anda kena sebutkan juga macamana anda kira hingga dapat jumlah tersebut.  



(4)                Kemaskini atau sediakan dokumen dan kiraan yang mudah difahami.

Setiap tuntutan di mahkamah berkait dengan dokumen. Itu yang perlu anda ingat. Jadi anda sangat digalakkan untuk sediakan dokumen-dokumen perbelanjaan yang anda guna semasa dalam tempoh iddah.

Jika beli pakaian, bawakan resitnya. Jika ada beli barang makan minum, bawa resit. Begitu juga rawatan atau beli barang keperluan anda. Jika dulu anda tidak kisah pasal resit. Untuk tempoh iddah anda kena kisah pasal resit dan dokumen ini sebab ia akan membantu anda dalam tuntutan tersebut.

Peguam pun jika anda berjumpa mereka, peguam pun akan tanya jika ada anda dokumen. Lega rasanya jika ada client yang memang simpan semua resit.

Jika anda dah takde resit, anda boleh buat kiraan sendiri dan tulis. Kiraan tersebut insyallah boleh bantu anda. Jangan main teka-teka jumlah sahaja.  


(5)        Jangan biarkan masa berlalu terlalu lama.


Jangan ambik masa terlalu lama baru nak menuntut nafkah iddah. Sesetengah orang menunggu masa yang terlalu lama baru datang ke mahkamah. Mungkin ambik masa mengubat hati.

Ada yang dah bertahun tahun cerai, ada yang dah 5 tahun cerai baru nak mulakan menuntut. Bukan ianya tidak boleh menuntut, tapi anda akan hadapi “kerumitan” dalam kes anda nanti sebab banyak benda yang anda telah lupa.

Masa yang terlalu lama akan membuatkan anda lupa dan tidak pasti tempoh iddah anda. Anda juga akan lupa apa yang anda guna dan apa keperluan anda masa iddah tersebut. So macamana nak buat kiraan.

Bayangkan kalau tempoh iddah anda 5 tahun dulu, mana mungkin anda ingat apa yang anda makan, mana anda tinggal dan berapa pakaian yang anda gunakan. Apa yang kita makan semalam pun belum tentu kita ingat.

Saya tidak kata anda tidak boleh menuntut. Boleh menuntut cuma ianya tidak “mudah”, berbeza jika tempohnya tidak lama.  

Semoga ada manfaat untuk anda. Share untuk manfaat bersama.


Mohamad Azlin Bin Mohamad Razali
Tetuan Mohamad Azlin & Suriati Associates 
Bukit indah, Ampang. Selangor