Monday, 25 January 2016

TUNTUTAN NAFKAH DI MAHKAMAH SYARIAH. TATACARA TUNTUTAN & CARA PENGIRAAN



TUNTUTAN NAFKAH DI MAHKAMAH SYARIAH, TATACARA TUNTUTAN DAN KADAR PENGIRAANNYA?


Muqadimah
Artikel ini untuk bacaan umum yang mana ianya memfokuskan kepada proses dan prosedur tuntutan nafkah di mahkamah syariah. Ianya juga akan menyatakan secara ringkas jenis-jenis nafkah, definisi dan tempohnya.
Nafkah dari segi bahasa mengikut tafsiran dalam kitab Fiqh Manhaji menyebut perkataan nafkah adalah diambil dari perkataan infaq yang bermaksud mengeluarkan. Dari segi istilahnya, nafkah bermaksud setiap apa yang dihajati oleh manusia seperti makan minum, pakaian dan tempat tinggal.

Nafkah juga bermaksud saraan hidup yang mana ianya satu keperluan manusia. Manusia memerlukan makanan, pakaian dan tempat tinggal yang merupakan asas untuk hidup.

Kita percaya yang semua orang maklum bahawa tanggungjawab memberi nafkah adalah tertangung ke atas kaum lelaki. Baik suami ataupun bapa. Suami bertanggungan menanggung nafkah isteri, bapa pula bertanggungan menanggung nafkah anak.

Dalam ayat 34 Surah An nisa yang bermaksud:

“ kaum lelaki adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan dan memberi nafkah sebahagian dari harta mereka.

Sabda Rasulullah S.A.W di dalam hadith yang diriwayatkan oleh al Tirmidzi yang bermaksud :

“Dan hak-hak isteri ke atas kamu (suami) hendaklah berbuat baik ke atas mereka (isteri-isteri) dan kewajipan ke atasmu memberi makan dan pakaian mereka menurut yang sesuai”.

Kelayakan isteri menerima nafkah adalah atas sebab wujudnya ikatan pernikahan yang sah. Dalam kitab Fiqh sunnah Jilid 4 muka surat 236 menyebut:

Syarat-syarat perempuan yang berhak menerima nafkah suami adalah seperti berikut:

1 Ikatan pernikahan yang sah,
2 Menyerahkan dirinya kepada suami
3 suaminya dapat menikmati dirinya
4 tidak menolak apabila diajak berpindah ke tampat yang dikehendaki  
   suaminya
5 kedua-duanya saling dapat menikmati kehidupan suami isteri

NAFKAH DALAM PERKAHWINAN VS NAFKAH SELEPAS PERCERAIAN
Nafkah dalam tempoh perkahwinan dengan selepas perceraian secara dasarnya tidak ada beza dari segi konsep nafkahnya. Ianya masih dianggap sebagai keperluan dan saran hidup. Masa berkahwin ianya untuk keperluan hidup, selepas bercerai pun ianya masih sama. Orang yang menanggungnya juga sama iaitu kaun lelaki.
Apa yang sedikit membezakan hanyalah pada nafkah isteri. Pada nafkah anak ianya tetap sama. Mari kita lihat apa perbezaannya sekali imbas.
Nafkah isteri dalam tempoh kahwin dipanggil nafkah isteri manakala untuk selepas bercerai tiada lagi nafkah isteri tetapi dipanggil nafkah iddah untuk bekas isteri.
Nafkah isteri diwajibkan selagi mana tempoh perkahwinan itu wujud iaitu selagimana ikatan perkahwinan itu ada selagi itulah nafkah itu diwajibkan. Nafkah iddah pula hanya untuk tempoh iddah yang mana akan tamat bila tamatnya tempoh iddah.  
Bagi nafkah anak, ianya tetap sama. Nafkah anak tidak ada perbezaan samada dalam tempoh perkahwinan atas selepas perceraian.

TATACARA MENUNTUT NAFKAH DI MAHKAMAH SYARIAH

Di mahkamah syariah ada 4 jenis  tuntutan yang melibatkan nafkah difailkan iaitu (1) Nafkah isteri (2) Nafkah Iddah (3) Nafkah tertunggak (4) Nafkah anak. Memandangkan nafkah tertanggung atas kaum lelaki, semua tuntutan nafkah di mahkamah syariah difailkan oleh kaum wanita samada isteri, bekas isteri dan ibu. Tiada tuntutan nafkah yang difailkan suami atau bapa. Berikut saya kongsikan beberapa langkah dan cara menuntut nafkah di mahkamah syariah.

PROSESNYA
Ø  Kenal pasti dulu nafkah apa yang puan bercadang hendak tuntut di mahkamah. Sebab kalau tidak tahu nafkah apa yang hendak di tuntut anda akan stuck semasa hendak mengisi borang mahkamah. Anda kena tahu samada hendak tuntut nafkah anak, nafkah iddah atau tunggakan nafkah.
Ø  Jika anda telah pasti apa yang hendak dituntut, pegi ke mahkamah syariah berdekatan tempat anda bermastautin. Jika anda tinggal di Petaling jaya, pergilah ke Mahkamah Rendah Syariah Petaling jaya. Begitulah bagi mahkamah di tempat lain.
Ø  Minta borang tuntutan nafkah di kaunter. Jika anda hendak tuntut nafkah anak, mintalah borang tuntutan nafkah anak, jika nak tuntut nafkah iddah mintalah borang nafkah iddah. Ianya mudah jika anda telah pasti apa tuntutan yang hendak dituntut.
Ø  Isi borang dalam 3 salinan (boleh juga isi satu kemudian buat copy lagi 2). Semua dokumen pun kena ada 3 copy. Dokumen asas yang kena bawa adalah ic, surat nikah @ surat cerai, surat beranak anak-anak (jika ada anak). Ingat bawa 3 copy setiap satu.
Ø  Anda isi sahaja tempat kosong dalam borang itu. Borang mahkamah mungkin nampak rumit bagi yang tidak biasa, tetapi ianya mudah difahami sebab dah disediakan ruang kosong untuk anda isi.
Ø  Sudah siap isi hantar sahaja semula di kaunter untuk difailkan. Bayar fees untuk pendaftaran sekitar RM40-RM50 kemudian dapatkan tarikh untuk hadir ke mahkamah (tidak lebih dari 21 hari dari tarikh difailkan).

KADAR DAN KIRAAN NAFKAH
Dalam pengalaman saya mengendalikan kes-kes di mahkamah syariah, bila membicarakan isu nafkah, kadar nafkahlah yang selalu menjadi persoalan orang awam. Berapa kadar nafkah yang hendak dipohon? Macamana nak kira? Berapa yang hendak dituntut?
Tuntutan nafkah tiada cara kiraan yang khusus dan juga tiada kadar yang khusus ditetapkan hokum syarak. Undang-undnag juga tidak menetapkan kadar tersebut. Apa yang diperuntukkan hanyalah kewajipan memberi nafkah. Justeru itu, berkaitan dengan kadar ianya bergantung kepada keperluan dan kemampuan.
Justeru, artikel ini akan berkongsi sedikit info mengenai perkara tersebut berdasarkan sedikit ilmu yang saya ada. Ingin saya tekankan di sini bahawa setipa orang berbeza cara tuntutan dan kiraannya. Ada orang awam atau Peguam Syarie yang meletakkan kiraannya sendiri berbeza dengan orang lain. Ini sesuatu yang biasa. Bak kata pepatah “lain padang lain belalang” lain orang lain caranya. Apa yang saya kongsikan hanya sebagai panduan sahaja.

Di bawah ini saya tunjukkan contoh kiraan yang anda boleh guna sebagai panduan.
(1)          Makan minum
Kiraan untuk makan minum diambil secara harian sebab hari-hari kena makan. Anda boleh letak kiraanya begini
Contoh RM 15 sehari (Pagi RM 5 + Tengahari RM 5 + Malam RM 5) x 30 hari = RM 450.00

(2)          Pakaian
Untuk pakaian, syarak meletakkan nafkah dari segi pakaian adalah memadai dengan dua persalinan setahun. Jadi, anda boleh letakkan satu jumlah yang kecil untuk sebulan. Contohnya RM20 sebulan. Jadi bila cukup 6 bulan ianya menjadi RM 120.00 jadi bolehlah anda membeli baju, seluar, kasut dan sebagainya.

(3)          Tempat tinggal
Bagi kadar tempat tinggal, anda boleh mengambil kiraan mengikut kadar sewa atau kadar bayaran bulanan pinjaman. Contoh sewa RM 500. Jadi jumlah ini anda boleh letakkan sebagai kadar nafkah tempat tinggal.

Jika anda menuntut nafkah anak, hanya keperluan anak sahaja yang dituntut. Tidak boleh masukkan sekali kepeluan ibu. Sebagai contoh sebuah rumah didiami oleh ibu dan anak (2 orang). Anda perlu asingkan nafkah tempat tinggal antara ibu dan anak. Jadi jika ibu menyewa sebuah rumah sewa berharga RM 400. Tuntutan nafkah anak hanya RM 200 kerana RM 400 dibahagi 2 = 200.
Jika tempat tinggal telah disediakan, jadi nafkah ini tidak perlu lagi dituntut.
(4)          Yuran Sekolah
Bagi tuntutan nafkah anak, kos pendidikan anak-anak boleh dituntut. Justeru, yuran persekolahan boleh diletakkan dalam tuntutan nafkah anak-anak. Ini kebiasaannya bagi anak-anak yang bersekolah di sekolah berbayar.

(5)          Wang saku
Wang saku dituntut untuk keperluan anak dan perbelanjaan mereka di sekolah. Cara kiraan yang boleh diambil adalah dengan mengambil kira berapa duit belanja yang diberikan kepaa anak setiap hari persekolahan.
Contohnya: RM 4 x 20 hari persekolahan = RM 80.00

Tuntutan nafkah tahunan.
Selain tuntutan secara bulanan, anda juga boleh menuntut keperluan tahunan terutamanya untuk anak-anak. Pembayaran untuk keperluan ini juga dibayar secara tahunan iaitu hanya setahun sekali. Anda boleh menuntut nafkah secara tahunan bagi keperluan awal persekolahan dan juga perayaan.

(6)          Perbelanjaan awal sekolah
Perbelanjaan ini untuk tuntutan dalam nafkah anak. Ianya meliputi keperluan untuk membeli buku-buku persekolahan, pakaian, kasut, dan juga pendaftaran yuran awal masuk persekolahan. Tidak dinafikan kos untuk awal persekolahan semakin tinggi. Justeru anda boleh menuntut dari bapa untuk menanggung kos tersebut. Kadar untuk tuntutan ini boleh dianggarkan mengikut kos masuk sekolah untuk tahun-tahun sebelumnya.
Jika anda telah dibekalkan dengan senarai keperluaan anda untuk masuk sekolah, boleh gunakan jumlah yang dinyatakan dalam senarai tersebut sebagai tuntutan perbelanjaan awal persekolahan.

(7)          Perayaan    
Tuntutan kos untuk perayaan ini juga boleh dituntut untuk keperluan anak-anak. Kebiasaannya ianya hanya untuk perayaan Aidilfitri. Anda boleh memohon untuk kos pembelian baru raya. Contohnya RM 200 untuk seorang anak.
Justeru, jika anda menuntut nafkah anak, anda boleh meletakkan kadar untuk makan minum, pakaian, tempat tinggal, wang saku, pendidikan, dan perayaan.  Anda boleh jumlahkan dan letakkannya sebagai tuntutan nafkah.
Contohnya:
Makan minum RM 10x 30       =RM 300
Tempat tinggal                         =RM 200
Pakaian                                   =RM   50
Wang saku RM 4x 20              =RM   80
                                                -------------
                             TOTAL        RM 630.00
                                                --------------
Yang penting apa yang anda letakkan sebagai tuntutan di mahkamah ada asas kiraannya.  Jika anda tuntut nafkah makan minum RM 300 sebulan, anda perlu jelaskan pada mahkamah macamaana anda kirakan RM 300 tersebut.  jadi anda bolehlah rujuk panduan di atas supaya mudah untuk anda menjawab nanti.
Suka saya ingatkan bahawa kadar nafkah yang dituntut biarlah dalam kemampuan pembayarnya. Hakim yang mengendalikan kes juga bukan sahaja melihat berapa keperluan bekas isteri atau anak, tetapi juga melihat tahap kemampuan pembayarnya. Oleh itu, pertimbangan perlu diberikan dalam menuntut nafkah. Ada ketikanya anda menuntut kadar yang tinggi tetapi mahkamah berikan hanya sedikit. Ini kerana mahkamah menilai juga tahap kemampuan pembayarnya.
Semoga artikel ini dapat memberi sedikit panduan untuk anda. Semoga ianya bermanfaat.

                                                                                      Mohamad Azlin
                                                                                      Peguam Syarie dari Tetuan Mohamad Azlin & Suriati Associates
24hb Januari 2016

Saturday, 7 November 2015

Gantung tidak bertali.

Gantung tidak bertali. Delima dan jalan keluarnya.
Rumah tangga yang bahagia menjadi impian setiap pasangan yang bernikah. Sejak dari menjalinkan hubungan kasih dan cinta hingga mendirikan rumah tangga semuanya membayangkan rumahtangga mereka bahagia. Tiada siapa yang mahu rumahtangga mereka bermasalah, bergolak hingga bercerai. 

Namun dalam rumahtangga, ujian dan dugaan tidak pernah putus. Suami diuji, isteri pun diuji. Pelbagai masalah timbul hingga kadangkala hubungan yang dibina putus. Sebab itu, ikatan rumah tangga itu disamakan dengan bahtera di lautan. Setiap masa ombak akan datang menghentam sisi bathera kiri dan kanan. Jika bahtera tidak teguh, nakhoda pula tidak berpengalaman dan tidak ada ilmu mengendalikan bahtera. Nescaya bahtera akan tenggelam kerana tidak tahan dihemtam ombak.

Bagi isteri, kebanyakkan kes atau aduan yang direpotkan adalah mengenai masalah nafkah, keganasan rumah tangga dan juga masalah gantung tidak bertali. 

Gantung tidak bertali ini adalah satu gelaran atau perumpamaan yang diberikan orang melayu kepada isteri yang ditinggalkan suami. Secara mudahnya difahami, isteri yang ditinggalkan atau dibiarkan suami tanpa nafkah, tanpa perhatian, tanpa perhubungan, tanpa berita. 

Isteri yang mengalami masalah ini jika hendak dikatakan berkahwin tetapi suami tiada, hendak dikatakan tidak berkahwin tetapi berstatus isteri. Inilah delima yang dialami sebahagian wanita yang digantung tidak bertali. Ada yang bersabar dan redho, ada juga yang ambil tindakan menuntut hak.

APA YANG PERLU DIBUAT?
Persoalan sebegini selalu bermain di fikiran wanita yang digantung tidak bertali. Kebanyakkannya tidak tahu apa yang dibuat dan lebih malang lagi percaya yang tiada jalan langsung untuk menyelesaikan masalah mereka. Mereka lebih selesa berdiam diri dan memendam rasa dan terus dengan keadaan mereka yang dianiayai.

Sebenarnya ada jalan dan cara yang boleh membantu untuk menyelesaikan masalah anda. Cuma ianya bergantung samada mahu mengorak langkah atau tidak. Di sini saya kongsikan langkah atau jalan yang boleh diambil untuk menyelesaikan masalah gantung tidak bertali.

PERTAMA:    ADUAN DI PEJABAT AGAMA. 
Anda boleh membuat aduan di pejabat agama di tempat anda untuk mendapatkan sesi kaunseling. Bila aduan di buat kedua-dua pihak iaitu suami dan isteri akan dipanggil hadir sesi kaunseling. Sesi kaunseling bertujuan untuk mencari jalan perdamaian, khidmat nasihat dari pegawai yang bertauliah serta langkah-langkah yang perlu untuk membetulkan semula kerukunan rumah tangga anda. Nasihat dan panduan akan diberikan kepada anda oleh pegawai dari pejabat agama.

Masa sesi kaunseling inilah anda perlu suarakan isu dan masalah yang anda hadapi. Bila masalah disuarakan maka pegawai agama akan nasihatkan pihak suami supaya lebih bertanggungjawab.
Sesi kaunseling ini hanya melibatkan anda dan pasangan di mana ianya dapat membantu anda dan pasangan mengenal pasti masalah dan penyelesaian nya dengan bantuan kaunselor. Dengan kehadiran suami isteri ke sesi kaunseling dan hasrat untuk berubah nescaya rumah tangga anda dapat dipulihkan semula. Yang penting buat aduan dan jangan berdiam diri sahaja.


KEDUA: PERMOHONAN CERAI DI MAHKAMAH
Sekiranya sesi kaunseling juga masih gagal, aduan dah dibuat Cuma pasangan anda tidak mahu hadir ataupun hadir tetapi perbincangan tidak dapat menyelesaikan masalah anda.

Maka anda boleh membuat permohonan cerai cara baik di mahkamah. Setelah kaunseling gagal atau suami tidak mahu hadir ke sesi kaunseling, itu satu signal bahawa usaha untuk berbaik semula gagal. 

Suka saya nasihatkan bahawa perceraian ini biarlah menjadi jalan terakhir setelah semua usaha anda untuk berbincang dan kaunseling gagal. 

Apa yang anda boleh buat adalah buat permohonan cerai secara baik di mahkamah. Penyelesaian secara baik adalah lebih baik dan lebih diutamakan. Perceraian secara baik dapat menutup aib dan masalah dari diketahui orang luar. Biar selesai cara baik.

Bila permohonan dibuat, mahkamah akan panggil suami untuk hadir dan menyatakan pendiriannya. Jika suami setuju setelah lama tinggal berasing, suami akan lafaz. Masalah anda selesai.

Sememangnya perceraian sesuatu yang dianggap tidak wajar dan tidak elok di sisi masyarakat, namun hidup dalam rumah tangga yang tidak ada tanggungjawab, tidak ada kasih sayang dan terus menerus diabaikan adalah sesuatu yang lebih tidak elok. Rumah tangga yang sebegini tidak memenuhi kehendak syarak. Syarak menggariskan tujuan berumah tangga adalah untuk kamu bersenang-senang dan memupuk kasih sayang di samping menjaga amanah serta tanggung jawab kerana Allah. 

Perkahwinan ada hikmahnya begitu juga perceraian. Paling tidak pun setelah perceraian berlaku status anda jelas dan diketahui serta banyak perkara boleh dibuat. Berbeza sekiranya anda terus bergantung tidak bertali.

KETIGA: FASAKH
Fasakh bermaksud perceraian dengan perintah mahkamah. Fasakh adalah salah satu bentuk perceraian yang boleh difailkan oleh isteri terhadap suaminya.

Sekiranya kaunseling gagal, perceraian secara baik juga gagal, maka permohonan cerai secara fasakh boleh menjadi langkah akhir untuk anda. Tuntutan cerai fasakh tidak memerlukan sangat kehadiran suami berbeza dengan perceraian cara baik. Sekiranya anda dah lama ditinggalkan suami dan anda tak tahu di mana suami berada , maka cara ketiga ini boleh menjadi pilihan anda.

Caranya adalah anda buat permohonan di mahkamah, mahkamah akan panggil suami. Jika suami hadir maka kes anda boleh diteruskan. Namun sekiranya dokumen telah diserahkan kepada suami atau suami tidak diketahui berada di mana, atau suami enggan hadir,  tuntutan fasakh masih boleh diteruskan. 

Dalam permohonan fasakh, anda boleh mengemukakan isu nafkah, nafkah batin sebagai alasan tuntutan carai fasakh. Bila mahkamah pertimbangkan tuntutan anda dan di buktikan dengan bukti yang kukuh serta saksi. Tuntutan fasakh boleh dibenarkan dan mahkamah boleh membubarkan ikatan perkahwinan anda dan pasangan. Bila perceraian disahkan atau perkahwinan dibubarkan, masalah gantung tidak bertali tidak timbul lagi.

Kesimpulan.
Masalah gantung tidak bertali ini semakin menjadi isu yang besar dalam masyarakat kita. Ada yang menempuhnya dengan tenang, sabar dan berdiam diri. Ada juga yang mengambil langkah menyelesaikan isu gantung tidak bertali ini. Semuanya bergantung kepada diri sendiri. Masalah ini lebih memberi kesan buruk kepada si isteri, lebih –lebih lagi yang hanya berdiam diri. 

Moga artikel ini sedikit sebanyak dalam membantu masyarakat di luar sana terutamanya isteri –isteri yang menghadapi masalah yang sama. Moga ada manfaat.
  
Peguam Syarie Mohamad
07.11.15



Monday, 2 November 2015

HARTA SEPENCARIAN- BILA BOLEH MOHON?




APA ITU HARTA SEPENCARIAN

Harta Sepencarian ialah suatu harta alih atau tidak alih yang diperolehi bersama oleh suami dan isteri hasil daripada usaha dan sumbangan bersama dalam tempoh perkahwinan mereka dan termasuklah juga nilai harta yang diperolehi sebelum mereka berkahwin (harta asal) yang telah dimajukan atau ditingkatkan nilainya dalam masa perkahwinan melalui hasil usaha bersama.
Isu berkaitan harta sepencarian ini ramainya mungkin sudah maklum mengenai pembahagian harta sepencarian tetapui ramai yang tidak tahu bila sepatutnya tuntutan harta sepencarian itu dibuat. Artikel ini akan berkongsi secara ringkas tentang bila sesuatu pihak boleh menuntut harta sepencarian?

SIAPA YANG BOLEH MENUNTUT?

Harta sepencarian ini dituntut oleh bekas suami atau bekas isteri sahaja di Mahkamah Tinggi Syariah.

BILA HARTA SEPENCARIAN BOLEH DITUNTUT?

Ada 3 tempoh yang pihak-pihak yang terlibat boleh menuntut harta sepencarian.

1.     Bila berlaku perceraian.
Bila perceraian berlaku dan setelah diperolehi perintah perceraian dari mahkamah maka bermulalah tempoh yang membolehkan isu harta sepencaraian difailkan. tempoh ini biasanya sudah dimaklumi oleh orang ramai.
Dalam tempoh ini, apa yang dilihat adalah sumbangan pihak-pihak terhadap perolehan harta tersebut. Pembahagian harta sepencarian tersebut dibuat berdasarkan sumbangan masing- masing. Siapa yang banyak menyumbang maka kebiasaannya akan menerima bahagian yang lebih banyak.

2.     Bila permohonan poligami difailkan.

Selain perceraian, satu lagi tempoh masa yang membolehkan seorang isteri memfailkan tuntutan harta sepencarian adalah semasa permohonan poligami difailkan di Mahkamah Syariah.
Semasa permohonan poligami difailkan di mahkamah, pemohon (Suami) akan mengemukakan tahap kemampuannya dan tanggungannya. Selain itu, suami juga perlu menentukan kiraan nafkah dan giliran bermalam untuk isteri sedia ada dan bakal isteri serta menentukan harta yang mana diperolehi dalam tempoh perkahwinan mereka sebelum ini.
Dalam erti kata lain, sebelum poligami dibenarkan, harta yang diperolehi dalam tempoh perkahwinan sebelum ini perlu ditentukan pembahagiannya.
Penentuan ini perlu bagi mengasingkan harta-harta yang diperolehi dalam tempoh perkahwinan yang lama dan perkahwinan yang baru. Bila penentuan telah dibuat, tidak lah nanti timbul perebutan harta atau tidak tahu samada harta ni atas sumbangan isteri pertama atau yang kedua. Jadi tentukan siap-siap sebelum berpoligami.
Oleh itu, isteri yang sedia ada akan mendapat hartanya yang diperolehi bersama dengan suaminya.  

3.     Bila berlaku kematian.

Bila berlaku kematian suami atau isteri, pasangannya yang hidup boleh menuntut harta sepencarian di mahkamah. proses ini bermula sebelum pembahagian faraid dibuat.
Sebelum pembahagian faraid dibuat, isteri boleh memohon tentukan bahagiannya dahulu dalam harta sepencarian.
Contohnya:
Suami meninggal dunia dan meninggalkan harta iaitu sebuah rumah teres. Rumah tersebut atas nama suami seorang. Secara jelas rumah tersebut adalah harta faraid dan perlu dibahagikan antara waris-waris si mati.

Isteri si mati boleh memohon kepada mahkamah untuk menentukan bahagian beliau dalam harta sepencarian terhadap rumah tersebut. Maka sebelum harta tersebut dibahagikan secara faraid maka harta tersebut dibahagikan dulu secara harta sepencarian.
Jika mahkamah memutuskan bahagian isteri adalah ½ bahagian secara harta sepencarian, bermakna baki ½ bahagian sahaja dari rumah tersebut akan difaraidkan.    

Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada semua pembaca. 




Mohamad Azlin
(Peguam Syarie)
2hb Nov 2015.