TUNTUTAN
NAFKAH DI MAHKAMAH SYARIAH, TATACARA TUNTUTAN DAN KADAR PENGIRAANNYA?
Muqadimah
Artikel
ini untuk bacaan umum yang mana ianya memfokuskan kepada proses dan prosedur
tuntutan nafkah di mahkamah syariah. Ianya juga akan menyatakan secara ringkas
jenis-jenis nafkah, definisi dan tempohnya.
Nafkah dari segi bahasa mengikut
tafsiran dalam kitab Fiqh Manhaji menyebut perkataan nafkah adalah diambil dari
perkataan infaq yang bermaksud mengeluarkan. Dari segi istilahnya, nafkah
bermaksud setiap apa yang dihajati oleh manusia seperti
makan minum, pakaian dan tempat tinggal.
Nafkah juga
bermaksud saraan hidup yang mana ianya satu keperluan manusia. Manusia
memerlukan makanan, pakaian dan tempat tinggal yang merupakan asas untuk hidup.
Kita
percaya yang semua orang maklum bahawa tanggungjawab memberi nafkah adalah
tertangung ke atas kaum lelaki. Baik suami ataupun bapa. Suami bertanggungan
menanggung nafkah isteri, bapa pula bertanggungan menanggung nafkah anak.
Dalam ayat
34 Surah An nisa yang bermaksud:
“
kaum lelaki adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum
perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki atas
orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan
dan memberi nafkah sebahagian dari harta mereka.
Sabda Rasulullah S.A.W di dalam hadith
yang diriwayatkan oleh al Tirmidzi yang bermaksud :
“Dan hak-hak isteri ke atas kamu
(suami) hendaklah berbuat baik ke atas mereka (isteri-isteri) dan kewajipan ke
atasmu memberi makan dan pakaian mereka menurut yang sesuai”.
Kelayakan isteri menerima nafkah
adalah atas sebab wujudnya ikatan pernikahan yang sah. Dalam kitab Fiqh sunnah
Jilid 4 muka surat 236 menyebut:
Syarat-syarat perempuan yang
berhak menerima nafkah suami adalah seperti berikut:
1 Ikatan pernikahan yang sah,
2 Menyerahkan dirinya kepada
suami
3 suaminya dapat menikmati
dirinya
4 tidak menolak apabila diajak
berpindah ke tampat yang dikehendaki
suaminya
5 kedua-duanya saling dapat
menikmati kehidupan suami isteri
NAFKAH DALAM
PERKAHWINAN VS NAFKAH SELEPAS PERCERAIAN
Nafkah
dalam tempoh perkahwinan dengan selepas perceraian secara dasarnya tidak ada
beza dari segi konsep nafkahnya. Ianya masih dianggap sebagai keperluan dan saran
hidup. Masa berkahwin ianya untuk keperluan hidup, selepas bercerai pun ianya
masih sama. Orang yang menanggungnya juga sama iaitu kaun lelaki.
Apa
yang sedikit membezakan hanyalah pada nafkah isteri. Pada nafkah anak ianya
tetap sama. Mari kita lihat apa perbezaannya sekali imbas.
Nafkah
isteri dalam tempoh kahwin dipanggil nafkah isteri manakala untuk selepas
bercerai tiada lagi nafkah isteri tetapi dipanggil nafkah iddah untuk bekas
isteri.
Nafkah
isteri diwajibkan selagi mana tempoh perkahwinan itu wujud iaitu selagimana
ikatan perkahwinan itu ada selagi itulah nafkah itu diwajibkan. Nafkah iddah
pula hanya untuk tempoh iddah yang mana akan tamat bila tamatnya tempoh iddah.
Bagi
nafkah anak, ianya tetap sama. Nafkah anak tidak ada perbezaan samada dalam
tempoh perkahwinan atas selepas perceraian.
TATACARA MENUNTUT
NAFKAH DI MAHKAMAH SYARIAH
Di
mahkamah syariah ada 4 jenis tuntutan
yang melibatkan nafkah difailkan iaitu (1) Nafkah isteri (2) Nafkah Iddah (3) Nafkah
tertunggak (4) Nafkah anak. Memandangkan nafkah tertanggung atas kaum lelaki,
semua tuntutan nafkah di mahkamah syariah difailkan oleh kaum wanita samada
isteri, bekas isteri dan ibu. Tiada tuntutan nafkah yang difailkan suami atau
bapa. Berikut saya kongsikan beberapa langkah dan cara menuntut nafkah di
mahkamah syariah.
PROSESNYA
Ø Kenal pasti dulu
nafkah apa yang puan bercadang hendak tuntut di mahkamah.
Sebab kalau tidak tahu nafkah apa yang hendak di tuntut anda akan stuck semasa
hendak mengisi borang mahkamah. Anda kena tahu samada hendak tuntut nafkah
anak, nafkah iddah atau tunggakan nafkah.
Ø Jika
anda telah pasti apa yang hendak dituntut, pegi
ke mahkamah syariah berdekatan tempat anda bermastautin. Jika anda tinggal
di Petaling jaya, pergilah ke Mahkamah Rendah Syariah Petaling jaya. Begitulah
bagi mahkamah di tempat lain.
Ø Minta borang tuntutan
nafkah di kaunter. Jika anda hendak
tuntut nafkah anak, mintalah borang tuntutan nafkah anak, jika nak tuntut
nafkah iddah mintalah borang nafkah iddah. Ianya mudah jika anda telah pasti
apa tuntutan yang hendak dituntut.
Ø Isi borang dalam 3
salinan (boleh juga isi satu kemudian buat
copy lagi 2). Semua dokumen pun kena ada 3 copy. Dokumen asas yang kena bawa
adalah ic, surat nikah @ surat cerai, surat beranak anak-anak (jika ada anak).
Ingat bawa 3 copy setiap satu.
Ø Anda isi sahaja
tempat kosong dalam borang itu. Borang
mahkamah mungkin nampak rumit bagi yang tidak biasa, tetapi ianya mudah difahami
sebab dah disediakan ruang kosong untuk anda isi.
Ø Sudah siap isi hantar
sahaja semula di kaunter untuk difailkan.
Bayar fees untuk pendaftaran sekitar RM40-RM50 kemudian dapatkan tarikh untuk
hadir ke mahkamah (tidak lebih dari 21 hari dari tarikh difailkan).
KADAR DAN KIRAAN
NAFKAH
Dalam
pengalaman saya mengendalikan kes-kes di mahkamah syariah, bila membicarakan
isu nafkah, kadar nafkahlah yang selalu menjadi persoalan orang awam. Berapa
kadar nafkah yang hendak dipohon? Macamana nak kira? Berapa yang hendak
dituntut?
Tuntutan
nafkah tiada cara kiraan yang khusus dan juga tiada kadar yang khusus
ditetapkan hokum syarak. Undang-undnag juga tidak menetapkan kadar tersebut.
Apa yang diperuntukkan hanyalah kewajipan memberi nafkah. Justeru itu,
berkaitan dengan kadar ianya bergantung kepada keperluan dan kemampuan.
Justeru,
artikel ini akan berkongsi sedikit info mengenai perkara tersebut berdasarkan
sedikit ilmu yang saya ada. Ingin saya tekankan di sini bahawa setipa orang
berbeza cara tuntutan dan kiraannya. Ada orang awam atau Peguam Syarie yang
meletakkan kiraannya sendiri berbeza dengan orang lain. Ini sesuatu yang biasa.
Bak kata pepatah “lain padang lain
belalang” lain orang lain caranya.
Apa yang saya kongsikan hanya sebagai panduan sahaja.
Di
bawah ini saya tunjukkan contoh kiraan yang anda boleh guna sebagai panduan.
(1)
Makan minum
Kiraan
untuk makan minum diambil secara harian sebab hari-hari kena makan. Anda boleh
letak kiraanya begini
Contoh
RM 15 sehari (Pagi RM 5 + Tengahari
RM 5 + Malam RM 5) x 30 hari = RM
450.00
(2)
Pakaian
Untuk
pakaian, syarak meletakkan nafkah dari segi pakaian adalah memadai dengan dua
persalinan setahun. Jadi, anda boleh letakkan satu jumlah yang kecil untuk
sebulan. Contohnya RM20 sebulan. Jadi bila cukup 6 bulan ianya menjadi RM
120.00 jadi bolehlah anda membeli baju, seluar, kasut dan sebagainya.
(3)
Tempat tinggal
Bagi
kadar tempat tinggal, anda boleh mengambil kiraan mengikut kadar sewa atau
kadar bayaran bulanan pinjaman. Contoh sewa RM 500. Jadi jumlah ini anda boleh
letakkan sebagai kadar nafkah tempat tinggal.
Jika
anda menuntut nafkah anak, hanya keperluan anak sahaja yang dituntut. Tidak
boleh masukkan sekali kepeluan ibu. Sebagai contoh sebuah rumah didiami oleh
ibu dan anak (2 orang). Anda perlu asingkan nafkah tempat tinggal antara ibu
dan anak. Jadi jika ibu menyewa sebuah rumah sewa berharga RM 400. Tuntutan
nafkah anak hanya RM 200 kerana RM 400 dibahagi 2 = 200.
Jika
tempat tinggal telah disediakan, jadi nafkah ini tidak perlu lagi dituntut.
(4)
Yuran Sekolah
Bagi
tuntutan nafkah anak, kos pendidikan anak-anak boleh dituntut. Justeru, yuran
persekolahan boleh diletakkan dalam tuntutan nafkah anak-anak. Ini kebiasaannya
bagi anak-anak yang bersekolah di sekolah berbayar.
(5)
Wang saku
Wang
saku dituntut untuk keperluan anak dan perbelanjaan mereka di sekolah. Cara
kiraan yang boleh diambil adalah dengan mengambil kira berapa duit belanja yang
diberikan kepaa anak setiap hari persekolahan.
Contohnya:
RM 4 x 20 hari persekolahan = RM 80.00
Tuntutan
nafkah tahunan.
Selain
tuntutan secara bulanan, anda juga boleh menuntut keperluan tahunan terutamanya
untuk anak-anak. Pembayaran untuk keperluan ini juga dibayar secara tahunan
iaitu hanya setahun sekali. Anda boleh menuntut nafkah secara tahunan bagi
keperluan awal persekolahan dan juga perayaan.
(6)
Perbelanjaan awal
sekolah
Perbelanjaan
ini untuk tuntutan dalam nafkah anak. Ianya meliputi keperluan untuk membeli
buku-buku persekolahan, pakaian, kasut, dan juga pendaftaran yuran awal masuk
persekolahan. Tidak dinafikan kos untuk awal persekolahan semakin tinggi.
Justeru anda boleh menuntut dari bapa untuk menanggung kos tersebut. Kadar
untuk tuntutan ini boleh dianggarkan mengikut kos masuk sekolah untuk
tahun-tahun sebelumnya.
Jika
anda telah dibekalkan dengan senarai keperluaan anda untuk masuk sekolah, boleh
gunakan jumlah yang dinyatakan dalam senarai tersebut sebagai tuntutan
perbelanjaan awal persekolahan.
(7)
Perayaan
Tuntutan
kos untuk perayaan ini juga boleh dituntut untuk keperluan anak-anak.
Kebiasaannya ianya hanya untuk perayaan Aidilfitri. Anda boleh memohon untuk kos
pembelian baru raya. Contohnya RM 200 untuk seorang anak.
Justeru,
jika anda menuntut nafkah anak, anda boleh meletakkan kadar untuk makan minum,
pakaian, tempat tinggal, wang saku, pendidikan, dan perayaan. Anda boleh jumlahkan dan letakkannya sebagai
tuntutan nafkah.
Contohnya:
Makan minum RM
10x 30 =RM 300
Tempat tinggal
=RM 200
Pakaian =RM 50
Wang saku RM
4x 20 =RM 80
-------------
TOTAL RM 630.00
--------------
Yang
penting apa yang anda letakkan sebagai tuntutan di mahkamah ada asas
kiraannya. Jika anda tuntut nafkah makan
minum RM 300 sebulan, anda perlu jelaskan pada mahkamah macamaana anda kirakan
RM 300 tersebut. jadi anda bolehlah
rujuk panduan di atas supaya mudah untuk anda menjawab nanti.
Suka
saya ingatkan bahawa kadar nafkah yang dituntut biarlah dalam kemampuan
pembayarnya. Hakim yang mengendalikan kes juga bukan sahaja melihat berapa
keperluan bekas isteri atau anak, tetapi juga melihat tahap kemampuan
pembayarnya. Oleh itu, pertimbangan perlu diberikan dalam menuntut nafkah. Ada
ketikanya anda menuntut kadar yang tinggi tetapi mahkamah berikan hanya
sedikit. Ini kerana mahkamah menilai juga tahap kemampuan pembayarnya.
Semoga
artikel ini dapat memberi sedikit panduan untuk anda. Semoga ianya bermanfaat.
Mohamad
Azlin
Peguam
Syarie dari Tetuan Mohamad Azlin & Suriati Associates
24hb Januari 2016