APA PERLU DIBUAT JIKA TErjebak dengan NIKAH SINDIKET?
Pernikahan
sindiket merupakan sesuatu yang sering berlaku dalam negara kita. Pernikahan sindiket
ini bukan sahaja di luar Negara malah dalam Negara pun berlaku juga. Secara ringkas
nikah sindiket ini bermaksud pernikahan yang diuruskan oleh sindiket.
Sebagai peguam saya selalu berjumpa dengan pasangan yang telah bernikah secara sindiket. Banyak antara mereka yang buntu dan keliru apa perlu dibuat bila tahu yang mereka bernikah secara sindiket.
Oleh itu, artikel
ini ditulis untuk berkongsi dengan pembaca tentang apa langkah yang perlu
dibuat kalau benar anda bernikah secara sindiket.
Pertama sekali
pembaca perlu tahu bahawa tidak semua nikah sindiket itu menyebabkan nikah
tidak sah. Ada juga yang sah. Ada pernikahan secara sindiket yang menepati
rukun syarak dari segi proses pernikahan, oleh itu selagi ianya menepati hukum
syarak maka ia adalah sah.
(1) Pastikan
dulu samada nikah anda sindiket atau tidak. Cara untuk pastikan adalah anda
kena check di Pejabat Agama Islam. Kalau surat nikah negeri Selangor, pergilah
ke Jabatan Agama Islam Selangor.
Setiap perkahwinan
di Malaysia adalah didaftarkan secara lengkap. Semua maklumat perkahwinan ada
dalam data pejabat agama. Check dengan pejabat agama, ada atau tidak
pernikahan anda berdaftar di Pejabat Agama. Jika tidak berdaftar, maka kemungkinan besar
ianya sindiket. Ada juga no siri pada surat nikahnya ada tetapi milik orang/
pasangan lain. maka itu juga kemungkinan nikah sindiket.
(2) Failkan
permohonan pengesahan nikah di mahkamah syariah di daerah anda tinggal.
Bila
telah pasti nikah anda tidak berdaftar, buat pengesahan nikah di mahkamah
syariah. Tujuannya untuk pastikan samada nikah anda sah atau tidak.
Mahkamah akan menyiasat seluruh proses pernikahan anda
baik dari segi akad nikahnya, walinya, jurunikahnya, serta pengantin lelaki dan
perempuan. Jika sah, maka nikah anda boleh didaftarkan dan surat nikah yang
baru dan berdaftar akan diberikan kepada anda.
Jika tidak sah, maka pernikahan anda akan difarakkan
dan anda akan dinasihatkan untuk bernikah semula dengan cara yang betul.
(3) Jika
pernikahan anda ada dikurniakan cahaya mata dan nikah anda diputuskan tidak
sah.
Sekiranya
mahkamah telah memutuskan bahawa pernikahan anda tidak sah dan anda telahpun
ada zuriat, anda perlu memfailkan permohonan nasab anak di mahkamah syariah
juga. Tujuannya untuk mendapat kepastian tentang status nasab anak tersebut
samada boleh dinasabkan kepada bapa atau tidak.
Sekiranya mahkamah memutuskan boleh dinasabkan maka
anak tersebut boleh di”bin”kan kepada bapa. Jika tidak maka tidak boleh di”bin”kan
kepada bapa dan kebiasaannya dibinkan dengan Abdullah.
Moga dengan
info ringkas ini dapatlah memberi manfaat kepada pembaca.
Peguam Syarie Mohamad
20hb Mei 2014